
Seramai 13 anggota tentera cedera selepas trak tentera dinaiki dipercayai merempuh palang plaza tol di Plaza Tol Teratai Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Ampang, pada Khamis.
Sumber berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima pada 4.40 petang.
Menurutnya, anggota tentera menahan ambulans yang melalui lebuh raya berkenaan dan memaklumkan trak tersebut kemalangan merempuh palang plaza tol.
Katanya, pihaknya memberikan rawatan awal dan meminta bantuan pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, seramai 13 mangsa yang cedera sudah dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.
Sementara itu Harian Metro sedang mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut berhubung kemalangan itu daripada pihak polis.
































