Utama Berita Automotif Remaja 14 tahun pandu kereta langgar dua kenderaan

Remaja 14 tahun pandu kereta langgar dua kenderaan

6

Polis mengesahkan video tular memaparkan seorang remaja berusia 14 tahun memandu sebuah kereta sehingga melanggar dua kenderaan lain dalam kejadian di dua lokasi berasingan di Taman Chai Leng, Perai, Bukit Mertajam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata kejadian berlaku pada jam 4.50 petang semalam dan laporan diterima pada 8.47 malam hari sama.

“Siasatan awal mendapati remaja itu yang memandu dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1 terlebih dahulu melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Dia kemudian meneruskan perjalanan sebelum dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan melanggar sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan betul,” katanya menerusi kenyataan media.

Susulan itu, ketiga-tiga kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, Nik Aminuddin berkata ibu bapa dan penjaga diminta supaya memantau aktiviti anak-anak serta tidak membenarkan mereka yang masih di bawah umur memandu kenderaan.

Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial hari ini memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta sehingga melanggar kenderaan lain sebelum dihentikan orang ramai di lokasi kejadian.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here