Utama Berita Automotif Papar Ke Sibu: Perjalanan 700km terhenti selamanya, sahabat kongsi detik terakhir arwah

Papar Ke Sibu: Perjalanan 700km terhenti selamanya, sahabat kongsi detik terakhir arwah

9

Seorang kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang sanggup berulang-alik lebih 700km setiap minggu demi keluarga, dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya pada Sabtu lalu.

Mangsa, Azman Mazni menghembuskan nafas terakhir ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari Papar, Sabah menuju ke rumahnya di Sibu, Sarawak.

Menurut perkongsian menyayat hati sahabatnya menerusi akaun Facebook S Faizzul Syar baru-baru ini, difahamkan arwah bertugas di Depot Imigresen Papar.

Kata pemuda itu, rutin mingguan arwah adalah merentasi perjalanan jauh sama ada ke Miri atau Sibu untuk bertemu isteri, anak-anak serta ibunya.

“Dalam jam 9.45 malam (25 April) dapat WhatsApp daripada kawan Depot Imigresen Papar dan panggilan telefon daripada kawan di Bintulu serentak mengatakan sahabat kami kemalangan. Kali terakhir sembang dalam grup WhatsApp sekitar jam 8 malam.

“Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak. Lebih kurang setiap minggu ulang-alik dari Depot Imigresen Papar (tempat kerja) ke rumah sama ada Miri atau Sibu, Sarawak.

“Di Miri ada ibu nak dijaga. Di Sibu pula ada isteri dan anak. Perjalanan melebihi 700km merentasi Brunei,” kongsinya.

Faizzul menambah, arwah sebelum ini sudah berusaha untuk mendapatkan pertukaran tempat kerja supaya lebih dekat dengan keluarga, namun hasrat itu tidak sempat menjadi kenyataan sepenuhnya.

“Tiap kali bertemu atau telefon memang topik yang arwah tanya pasal perpindahan. Bukan dia tak usaha tapi (permohonan) sudah dapat sokongan di peringkat negeri, cuma belum dapat kelulusan ibu pejabat (HQ).

“Perjalanan darat dari Sabah ke Sarawak bukan hanya merentas negeri, tapi merentasi negara. Kadangkala apabila seseorang memohon pertukaran bukan sebab saja-saja, tapi ada orang tersayang menunggu,” jelasnya.

Pemergian arwah bukan sahaja dirasai sebagai kehilangan besar dalam kalangan rakan sekerja, malah meninggalkan kesan amat mendalam buat Faizzul yang juga sahabatnya sejak kecil.

Difahamkan, arwah Azman hampir tiba di rumahnya di Sibu kurang dari satu jam selepas mengharungi 11 jam perjalanan.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here