
Ariic mempertontonkan model prototaip mereka menerusi skuter kembara, Ariic 400GS sempena Jinlang Motorcycle Culture Week.
Lebih menarik, Mforce Bike Holdings turut mengesahkan bahawa model itu akan memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2026, dengan pelancaran rasmi dirancang pada Mforce Motorshow pada Mei 2026.
Walaupun masih di peringkat prototaip, apa yang dipamerkan sudah cukup memberi gambaran bahawa 400GS bakal menjadi satu daripada skuter adventure paling agresif dalam kelasnya apabila tiba di Malaysia nanti.

Ariic 400GS menggunakan enjin silinder tunggal 396 cc sejukan cecair, menghasilkan 33.5 hp pada 7,500 rpm dan 38.3 Nm pada 5,500 rpm.
Angka tork yang tinggi pada rpm rendah ini sudah cukup menunjukkan karekter enjin yang sesuai untuk pendakian, tunggangan off-road ringan mahupun perjalanan jauh yang memerlukan kuasa konsisten.

Kadar penggunaan bahan api pula berada sekitar 3.62L/100 km, satu bacaan yang agak baik untuk sesaran hampir 400 cc, lebih-lebih lagi bagi skuter yang direka dengan badan besar dan ciri adv yang lebih berat.
Prototaip itu sudah pun disahkan hadir dengan beberapa ciri penting seperti ABS dua-saluran, sistem kawalan cengkaman HSCT, paparan instrumen LCD penuh, serta penghadang angin boleh laras empat tahap.

Penunggang juga boleh menjangkakan ergonomik yang lebih tegak dan selesa, sesuai dengan karakter sebuah skuter adventure jarak jauh.
Walaupun Ariic belum mendedahkan sepenuhnya spesifikasi casis, suspensi atau pilihan warna, pendedahan awal ini sudah cukup untuk memberi bayangan bahawa 400GS akan menjadi model yang mengisi ruang di antara skuter adventure 250cc dan maxi-scooter 400cc premium di pasaran Malaysia.
Dengan saiz, kuasa dan ciri yang ditawarkan, 400GS berpotensi besar menjadi alternatif yang lebih mampu milik. Setakat ini, tiada harga yang dimaklumkan, kita tunggu sahaja pada majlis pelancarannya nanti.






























