
Mforce Bike Holdings mengesahkan bahawa Ariic Touch 250 dan Ariic XGobi 250 akan memasuki pasaran tempatan selewat-lewatnya Mei 2026, masing-masing dengan harga anggaran RM13,888 dan RM14,388.
Kedua-dua model itu membuka lembaran baharu buat Ariic dalam segmen skuter pertengahan, dengan Touch 250 memberi fokus kepada gaya premium, manakala XGobi 250 menampilkan imej kembara yang lebih lasak.
Ariic Touch 250 direka sebagai skuter maxi
Ariic Touch 250 direka sebagai skuter maxi yang menekankan keselesaan harian dan ciri praktikal.
Di sebalik reka bentuknya yang moden, ia dikuasakan enjin silinder tunggal 249 cc dengan output 22.5 hp pada 8,000 rpm dan 23.5 Nm pada 5,000 rpm.
Tangki 11 liter yang dipadankan membolehkan ia mencapai jarak sehingga 370 km, menjadikan Touch 250 antara skuter dalam kategorinya yang menawarkan kecekapan bahan api terbaik.
Bahagian suspensi menggunakan fork teleskopik dengan perjalanan roda 80 mm, serta penyerap hentak berkembar di belakang. Sistem brek pula hadir dengan cakera 260 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, lengkap ABS dua saluran.
Ciri yang ditawarkan juga tidak mengecewakan. Touch 250 dilengkapi unit lampu LED penuh, penghadang angin elektrik, sistem tanpa kunci, paparan TFT 6.75 inci yang menyokong Bluetooth dan navigasi, mod tunggangan serta pelana rendah 760 mm. Keselamatan tambahan, ia turut disertakan kawalan cengkaman serta kamera perakam depan.
XGobi 250 pula tampil sebagai skuter kembara
Jika Touch 250 memfokuskan keselesaan harian, XGobi 250 pula tampil sebagai skuter kembara yang lebih bersedia menghadapi pelbagai permukaan jalan.
Masih menggunakan enjin yang sama, XGobi 250 ditala untuk memberikan pengalaman tunggangan lebih versatil, dibantu tangki lebih besar 12.5 liter dan penggunaan bahan api sekitar 2.9L/100 km.
Rupa luaran XGobi jelas membezakan dirinya. Ia datang dengan crash bar standard, fork USD yang memberikan ketegaran lebih baik, serta rim lidi aloi aluminium yang menyempurnakan identiti adventure.
Penghadang angin pula menggunakan larasan manual, sesuai untuk penunggang yang ingin menyesuaikan aliran angin ketika menunggang jauh.
Di bahagian elektronik, XGobi 250 tidak kurang lengkap — ia dipasang paparan TFT 7 inci, lampu LED penuh, sistem tanpa kunci, brek cakera depan belakang, ABS dua saluran, TCS serta kamera perakam depan, menjadikan ia antara skuter kembara paling serba lengkap dalam kelas 250 cc.
Dengan pakej ciri dan harga yang ditawarkan, kedua-dua skuter itu dilihat sebagai pesaing baharu yang berpotensi mengubah pilihan penunggang tempatan.
Ariic Touch 250 lebih menepati citarasa mereka yang mahukan skuter maxi premium, manakala XGobi 250 pula untuk penunggang yang sukakan gaya lebih rugged dan kerap melalui perjalanan jauh atau laluan mencabar.






























