Rasuah projek Suke, COO Prolintas didenda RM100,000

122

Ketua Pegawai Operasi (COO) Prolintas dijatuhi hukuman denda maksimum RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu selepas mengaku bersalah menerima suapan RM90,000 daripada Syarikat Satunas Technologies Sdn Bhd berkenaan pakej kerja Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Tertuduh, Rostam Shahrif Tami dikatakan gagal melaporkan pemberian rasuah pada 20 Februari 2023 itu yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.

Ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Bagaimanapun Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman denda selepas mengambil kira hujahan tertuduh dan faktor pemberatan pendakwa raya.
Menurut peguam Zulkifli Ahmad, anak guamnya bersetuju supaya dilucutkan hak pemilikan harta disita yang berkaitan kesalahan disiasat iaitu wang tunai berjumlah hampir RM1 juta, bon bernilai RM114,000 untuk tujuh utas jam tangan mewah dan dua kereta atas nama anak perempuan tertuduh serta dana RM180,000 di dalam akaun Tabung Haji miliknya.
 
Tertuduh mengemukakan rayuan untuk tidak dipenjara atas sebab perlu menyara lima orang anak, selain mengalami masalah kesihatan darah tinggi, dia juga memiliki rekod bersih sepanjang bekerja di Prolintas sejak 1998.
 
Tertuduh juga menzahirkan penyesalan atas perbuatan dilakukan yang turut mencemarkan nama baiknya.
 
Timbalan Pendakwa raya, Nor Diana Nor Azwa memohon hukuman setimpal dikenakan kerana ia meliputi kepentingan awam serta memberikan amaran kepada masyarakat untuk tidak melakukan kesalahan sama.
 
Difahamkan tertuduh memberikan kerja No 3 bertajuk ‘To Construct End Cap Stressing And Shear Block’ kepada syarikat terbabit, kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran sekitar Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here