
Jabatan Kerja Raya (JKR) Delhi pada hari Selasa lalu mendakwa telah mencatat rekod dunia dengan membaiki 3,433 jalan berlubang di ibu kota dalam sehari dan melebihi 33 lubang daripada sasaran.
Menteri JKR, Parvesh Sahib Singh menyatakan pencapaian itu bagi menamatkan pelbagai alasan dan penundaan kerja.
“Ini bukan sekadar misi membaiki lubang jalan, ia adalah komitmen untuk menamatkan kitaran kelewatan dan alasan. Setiap lubang yang ditutup adalah mesej bahawa hasil kerja boleh dicapai apabila bekerja dengan jujur,” katanya.

Tambahnya, setiap kerja pembaikan direkodkan melalui gambar dengan tanda geo dan masa yang diambil sebelum dan selepas kerja.
Langkah ini diperkenalkan untuk memastikan ketelusan dan mengelakkan sebarang salah laku.
Pegawai JKR mendakwa sebelum ini bandar Pune juga melakukan kempen sama dengan membaiki 989 jalan berlubang dalam sehari manakala Vadodara telah menampal lebih 650 lubang dalam sehari.
Semasa operasi pembaikan, Parvesh turun ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan dan berinteraksi dengan jurutera dan pekerja. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu juga memantau kerja di kawasan masing-masing.
Operasi tersebut bermula pada awal pagi Selasa dan berterusan hingga ke petang, meliputi jarak 1,400km seluruh bandar yang dibahagikan kepada tiga zon utama (timur, selatan, dan utara).
Lebih 200 van penyelenggaraan yang dilengkapi dengan jentera canggih dan bahan berkualiti tinggi digerakkan untuk memastikan kerja pembaikan yang cepat dan tahan lama, kata pegawai.
Pegawai PJKR berkata, data jalan berlubang dikumpulkan melalui aduan yang diterima daripada penduduk, pemetaan dron dan tinjauan zon.
“Lebih 1,000 kakitangan, termasuk 70 penolong jurutera, 150 jurutera muda, dan ratusan pekerja serta penyelia, mengambil bahagian dalam operasi ini.
“Masa ini sangat penting, memandangkan monsun dijangka tiba tidak lama lagi. Dengan operasi ini, kerajaan berhasrat untuk mengurangkan secara signifikan risiko kemalangan, aduan air bertakung dan ketidakselesaan pengguna jalan raya,” jelasnya.
Tambahnya, van penyelenggaraan akan terus beroperasi sepanjang musim monsun bagi siap siaga sekiranya jalan berlubang ditemui akan dibaiki serta-merta.
Selain itu, PWD telah menetapkan sasaran untuk menyelesaikan kerja pembaikan rangkaian jalan sepanjang 500 km menjelang Mac tahun depan.