
Pengguna lebuh raya yang terlibat dalam kemalangan akibat kerosakan jalan di Johor boleh membuat tuntutan pampasan kepada pihak berwajib.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata mangsa perlu mengemukakan bukti dan maklumat jelas.
Katanya, seorang pengguna jalan raya telah diberikan pampasan berjumlah RM721,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
“Sekiranya berlaku kemalangan, atau kerosakan kenderaan disebabkan kerosakan jalan raya, pengguna boleh buat tuntutan kepada pihak konsesi yang bertanggungjawab menyelia laluan tersebut.
“Kaedahnya adalah dengan mengambil gambar kemalangan atau kerosakan kenderaan, gambar kerosakan jalan raya, sertakan butiran lokasi, waktu, laporan polis serta resit-resit berkaitan kejadian tersebut.
“Surat rasmi kemudian boleh dibuat dan disampaikan kepada pihak terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) berhubung kualiti tampalan atau turapan jalan di Johor.