[Video] Pekerja kedai cuci rosakan Yamaha FZR400R pelanggan

40

Setiap pemilik motosikal, terutamanya yang memiliki jentera klasik dan ikonik, pasti akan faham perasaan sayang dan penjagaan rapi yang dicurahkan.

Namun, malang tidak berbau apabila motosikal diserahkan kepada pihak ketiga untuk dibersihkan berakhir dengan kecelakaan. 

Inilah yang menimpa seorang pemilik motosikal legenda, Yamaha FZR400R apabila memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pekerja pusat cuci. 

Pemilik yang menggunakan akaun Facebook Yan berkongsi pada hari kejadian dia terpaksa menghantar FZR400R miliknya ke pusat cuci baharu.

“Ini pertama kali aku anta cuci kat sini, tempat yang aku biasa cuci tu tutup,” luah pemuda itu yang meninggalkan motornya untuk dicuci.

Namun, ketika ingin mengambil kembali FZR400R tersebut, hatinya hancur melihat keadaan motosikalnya yang sudah rosak.

Kerosakan yang dialami tidaklah kecil yang mana melibatkan beberapa komponen bengkok, sehingga menimbulkan keraguan buat pemilik. 

“Aku syak confirm dia nak pindah dari tempat cuci, ke tempat kering dia pergi start moto dan bawak. Kalau dia setakat usung moto tu impact tak kan jadi sampai bengkok macam tu… Ujian sungguh la aihhh,” tulisnya dengan nada kecewa.

Menerusi video yang dikongsi, pemilik menyatakan kos pembaikan tidak murah kepada pekerja pusat cuci berkenaan.  

Video berdurasi 51 saat itu menunjukkan beberapa komponen mengalami kerosakkan misalnya bahagian kowl atas dan tuil klac telah bengkok di samping visor angin yang pecah serta cermin sisi patah.

Merumitkan lagi keadaan adalah kesukaran mencari alat ganti asli selain tempoh menunggu yang lama.

Berbeza dengan model-model baharu, kebanyakan alat ganti asli jentera lama sudah tidak lagi dikeluarkan sehingga memaksa pemilik untuk bergantung kepada pasaran terpakai, mencari alat ganti ‘New Old Stock’ (NOS), atau terpaksa menempah komponen kustom yang pastinya menelan belanja lebih besar dan memakan masa yang lama.

Situasi ini menambahkan lagi beban dan tekanan kepada pemilik, kerana proses pemulihan motosikalnya akan menjadi lebih sukar dan memakan masa yang panjang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here