
Volvo XC90 memang gah namun sebuah lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) iaitu XC60 pula hebat dari segi jualan.
Volvo XC60 telah mencatat sejarah, menjadi model Volvo terlaris sepanjang zaman dengan penjualan melebihi 2.7 juta unit. Angka ini menyaksikan XC60 mengatasi Volvo 240 yang ikonik sebagai model Volvo paling laris yang pernah ada.
Sejak kemunculan pertaman pada tahun 2008, SUV bersaiz sederhana ini terus menjadi pilihan popular dalam kalangan pengguna.
XC60 telah menarik minat pelbagai jenis pemandu yang mengutamakan keselamatan, kualiti, dan pengalaman pemanduan premium.
Pada awalnya, pengeluaran XC60 terhad di Eropah, namun kemudiannya ia menjadi model Volvo global pertama yang turut dipasang di China, bagi menyokong jualan di pasaran tempatan.
Tidak dilupakan, XC60 juga dipasang di Shah Alam, Selangor.
Pakej yang dibawa XC60 diiktiraf pada tahun 2018 apabila ia dinobatkan sebagai Kereta Dunia Tahunan (World Car of the Year).
Generasi XC60 semasa memainkan peranan penting dalam memperkenalkan sistem pacuan hibrid plug-in kepada khalayak yang lebih luas.
Buktinya, ia merupakan model hibrid plug-in terlaris di Eropah pada tahun lalu.
Untuk model tahun 2026, XC60 telah melalui pembaharuan signifikan. Ini termasuk reka bentuk yang lebih moden, pengalaman pengguna yang lebih intuitif, peningkatan keselesaan, serta sistem maklumat hibur yang lebih responsif.
“Bagi mereka yang membesar di Sweden pada tahun 1980-an, Volvo 240 adalah kereta keluarga yang ikonik – ia boleh dilihat di hampir setiap jalan masuk rumah,” kata Susanne Hägglund, ketua Global Offer Volvo Cars.
“Hari ini, XC60 telah mengambil alih kedudukan itu dalam dua aspek. Bukan sahaja sebagai pilihan keluarga, tetapi juga sebagai model terlaris sepanjang zaman kami. Ini adalah bukti muktamad kejayaan sebuah kereta. Dengan kemas kini terkini, ia menjadi lebih baik.”
XC60: Kereta Keluarga Yang Ideal
XC60 adalah kenderaan serba boleh yang sesuai untuk keluarga, menggabungkan ciri keselamatan canggih, reka bentuk Skandinavia, dan kepraktisan SUV dalam satu pakej yang komprehensif.
Ia telah mengukuhkan kedudukannya sebagai tunjang dalam tradisi Volvo Cars yang membanggakan dalam menghasilkan kenderaan yang dipercayai oleh keluarga.
Sebelum ini, Volvo 240 wagon adalah pilihan utama bagi keluarga di seluruh dunia, dihargai kerana ciri keselamatannya dan ciri pemanduannya yang baik.
Bagi kebanyakan orang, ia mendefinisikan standard sebuah kereta wagon. Kini, SUV telah menggantikan wagon sebagai pilihan utama keluarga, dan status baharu XC60 sebagai model Volvo terlaris sepanjang zaman dengan jelas mencerminkan perubahan dalam kehendak dan keperluan pelanggan.
Ramai individu yang membesar dengan Volvo 240 kini memilih XC60 untuk keluarga mereka sendiri. Sama seperti 240 membentuk kenangan zaman kanak-kanak mereka, XC60 hari ini pula sedang mencipta kenangan untuk generasi baharu.
Warisan Keselamatan: Dari 240 ke XC60
Apabila Volvo 240 diperkenalkan pada tahun 1974, ia menetapkan piawaian keselamatan yang kekal relevan untuk beberapa dekad.
Pada zamannya, ia menampilkan reka bentuk badan canggih dengan zon remuk hadapan dan belakang, bersama-sama dengan ruang penumpang yang diperkukuh. Struktur keselamatan seumpama ini terus melindungi penumpang Volvo di jalan raya hingga kini.
240 juga merupakan antara kereta pertama yang mennggunakan perlindungan impak sisi yang dipertingkatkan, yang kemudiannya berkembang menjadi Sistem Perlindungan Impak Sisi (SIPS) yang dipatenkan oleh Volvo.
Selain itu, pengenalan Kusyen Peningkat Kanak-kanak (Child Booster Cushion) pada tahun 1978 merupakan inovasi pertama di dunia.
Volvo XC60 telah meneruskan legasi ini dengan memperkenalkan pelbagai teknologi keselamatan canggih, seperti City Safety.
Ini adalah sistem brek kecemasan automatik kelajuan rendah standard pertama di dunia yang direka untuk membantu mengelakkan atau mengurangkan perlanggaran pada kelajuan sehingga 30 km/j.
Dilancarkan pada tahun 2008, ciri ini kini menjadi standard pada kebanyakan kereta baharu di seluruh dunia.
Pada tahun 2017, XC60 memperkenalkan satu lagi inovasi pertama di dunia iaitu Oncoming Lane Mitigation, sebuah sistem yang mampu mengemudi kenderaan kembali ke lorong jika tersasar ke arah trafik yang datang.
Inovasi-inovasi ini telah menyumbang kepada penerimaan beberapa anugerah keselamatan bebas untuk kereta tersebut.
Sama seperti 240 pada zamannya, Volvo XC60 yang diperbaharui kini merupakan antara kereta paling selamat di jalan raya.
Dengan struktur keselamatan canggih serta teknologi keselamatan aktif dan sokongan pemandu terkini, ia direka untuk melindungi pemandu dan penumpang.
Maklumat tambahan:
- Volvo 240 dihasilkan antara tahun 1974 hingga 1993, dengan jumlah 2,685,171 unit dibina.
-
Model 240 dipasang di Gothenburg dan Kalmar, Sweden, serta di Ghent, Belgium.
-
Unit terakhir Volvo 240 dikeluarkan dari kilang Torslanda di Gothenburg pada 5 Mei 1993.