
Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata pegawai transit yang berada di dalam tren itu berjaya memindahkan penumpang ke stesen berhampiran.
Jelasnya, pihak operasi mengaktifkan perkhidmatan tren perantara alternatif antara stesen KL Sentral dan Hang Tuah, serta antara Hang Tuah dan Bukit Nanas. Bas perantara juga disediakan antara stesen Titiwangsa dan Bukit Nanas.
“Pasukan kejuruteraan berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih dan mengembalilan operasi normal secepat mungkin.

“Penumpang dinasihat untuk merujuk kepada laman sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini status perkhidmatan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.30 pagi dan menghantar jentera serta anggota dari Balai Bomba Titiwangsa ke lokasi kejadian.
Komander Operasi Kuala Lumpur, Mohamad Remi Che Mat berkata setibanya lokasi pihaknya mendapati tren terkandas antara laluan Medan Tuanku berhampiran Maju Junction dan penumpang dipindahkan pihak pengurusan.
“Seramai 373 penumpang berjaya dipindahkan dan terdapat seorang wanita berusia 58 tahun pengsan namun telah sedarkan diri selepas mendapat rawatan daripada pihak KKM,” katanya.































