MOT tubuh pasukan petugas khas siasat insiden KLIA & tren Butterworth

15

Kementerian Pengangkutan (MOT) menubuhkan dua pasukan petugas khas bagi menyiasat insiden letupan kontena di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor dan insiden tren komuter terlajak di Stesen Butterworth, Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penubuhan dua pasukan itu diputuskan dalam Mesyuarat Pasca-Kabinet MOT, pada Rabu bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Beliau berkata mesyuarat itu turut meneliti insiden limpahan air hujan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

“Letupan kontena di atas sebuah kapal ketika kerja pemunggahan dijalankan pada 7 November 2025 mengakibatkan tiga kematian dan tiga lagi cedera. Pasukan petugas akan meneliti keseluruhan aspek operasi, pematuhan keselamatan serta mekanisme pengendalian kargo berbahaya.

“Sementara itu, pada 8 Nov, satu set tren komuter kosong telah terlajak hingga hujung landasan di Platform 4, Stesen Butterworth. Pasukan petugas akan menilai punca insiden serta keperluan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian berulang,” katanya. 

Beliau berkata APAD turut diarahkan membuka kertas siasatan terhadap pemandu tren dan mengambil tindakan susulan selepas siasatan selesai.

Berhubung insiden limpahan air hujan di KLIA Terminal 1, Loke berkata kejadian berkenaan dikenalpasti berlaku ketika kerja-kerja kalis air (waterproofing) sedang dijalankan oleh kontraktor Teras Budi Resources Sdn Bhd di bawah kontrak bernilai RM5.27 juta dengan tempoh kontrak dari 15 April 2025 hingga 14 April 2026.

Susulan kejadian itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengeluarkan arahan henti kerja bagi membolehkan siasatan dalaman dan tindakan pembetulan dilakukan serta-merta.

“Saya turut mengarahkan МАНВ untuk mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor atas kecuaian yang menyebabkan insiden tersebut.

“MOT menegaskan bahawa keselamatan pengguna dan integriti operasi adalah keutamaan tertinggi. Operator di bawah sektor pengangkutan negara diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya prosedur keselamatan dan melaksanakan kerja penyelenggaraan serta pemantauan secara berterusan.

“MOT akan memaklumkan perkembangan lanjut hasil siasatan kedua-dua pasukan petugas tersebut dari semasa ke semasa,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here