
PT Suzuki Indomobil Motor (SIM) mengumumkan bahawa eksport peringkat awal SUV Fronx dan moped Satria akan memfokuskan pasaran Asia Tenggara.
Keputusan ini meletakkan Indonesia sebagai pusat pengeluaran utama Suzuki untuk memenuhi permintaan serantau.
Presiden Pengarah Suzuki Indonesia, Minoru Amano menjelaskan ASEAN menjadi keutamaan kerana kesediaan pasaran dan sifat produk yang sepadan dengan keperluan pengguna di rantau ini.
“Eksport perdana kedua-dua model ini menjadi bukti kesediaan fasiliti pembuatan di Indonesia dalam memenuhi standard global,” katanya.
Di samping itu, keupayaan untuk mematuhi peraturan di setiap negara destinasi menunjukkan kapasiti industri nasional Indonesia yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
Malaysia Antara Sasaran Utama Eksport

Sementara itu, Pengurus Eksport PT SIM, Domu Arisanto menyatakan pihaknya akan memberi fokus ke negara Asean iaitu Kemboja, Laos, Malaysia, Thailand, Filipina, dan Vietnam.
Suzuki menetapkan sasaran eksport kumulatif Fronx mencapai 30,000 unit dan Satria sebanyak 150,000 unit sehingga tahun 2027.
Kedua-dua model ini diposisikan sebagai produk strategik untuk mengukuhkan sumbangan Indonesia dalam rantaian bekalan automotif global.
- Fronx dijangka menyumbang sekitar satu pertiga daripada jumlah keseluruhan eksport kereta Suzuki sehingga 2027.
- Satria pula dijangka menjadi penggerak utama eksport motosikal dengan menyumbang lebih separuh daripada jumlah keseluruhan penghantaran ke luar negara dalam tempoh yang sama.































