Mazda CX-5 2026 diperkenal, saiz bertambah, 2.5L hibrid ringan

30

Mazda CX-5 mula dikeluarkan pada 2016 dan dalam tempoh tersebut, pelbagai model baharu dari Mazda telah diperkenalkan, termasuk kenderaan elektrik.

Akhirnya, setelah tempoh yang agak lama di pasaran, Mazda memperkenalkan CX-5 generasi ketiga.

Pendekatan reka bentuk Mazda kekal konsisten, iaitu melalui evolusi berbanding revolusi dari generasi pertama.

CX-5 merupakan model yang popular dan strategi ini dilihat lebih selamat berbanding memperkenalkan sesuatu yang terlalu berbeza dan mungkin sukar diterima.

Dimensi lebih besar

Mazda CX-5 serba baharu mengekalkan bentuk ikonik model terdahulu sambil mempertingkatkan bahasa reka bentuk Kodo – Soul of Motion Mazda.

Direka di bawah konsep reka bentuk Wearable Gear, CX-5 membawa gaya yang lebih sporti dan meyakinkan, sesuai untuk pemanduan di bandar dan pengembaraan.

Daripada siaran rasmi model pasaran Amerika Syarikat (A.S.), CX-5 serba baharu ini kini 4.5 inci (kira-kira 11.43 cm) lebih panjang secara keseluruhan, termasuk jarak roda.

Ia juga lebih lebar setengah inci (kira-kira 1.27 cm) berbanding model sebelumnya.

Sekali lagi daripada A.S., bukaan pintu hadapan dan belakang lebih besar untuk kemasukan dan keluar lebih mudah dan membantu pemasangan kerusi kanak-kanak.

Keselesaan penumpang juga telah dipertingkatkan hasil daripada peningkatan ruang kaki, lutut, dan kepala di bahagian belakang.

Penumpang tempat duduk belakang boleh meregangkan kaki dengan selesa dan bumbung panoramik yang tersedia menjadikan suasana dalaman terasa lebih terbuka

Dimensi baharu turut menyumbang kepada ruang kargo belakang yang lebih besar dan lebih berguna.

Ruang kargo kini hampir dua inci (kira-kira 5.08 cm) lebih panjang dan lebih satu inci (kira-kira 2.54 cm) lebih tinggi.

Ketinggian ambang muatan juga turun lebih setengah inci (kira-kira 1.27 cm) dari model sebelum, menjadikan proses pemuatan lebih mudah.

Enjin dan Dinamik Pemanduan

CX-5 baharu dikuasakan enjin petrol 2.5 liter e-Skyactiv G yang dipadankan bersama teknologi Mazda M Hybrid 24V dan sistem brek-melalui-wayar.

Ini menggantikan unit asas 2.0 liter terdahulu. Pemandu dibekalkan kuasa 141 ps (104 kW) dan tork 238Nm.

Varian pacuan roda depan memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 10.5 saat.

Tersedia dalam pacuan depan (FWD) dan semua roda (AWD), CX-5 baharu mendapat manfaat daripada kemas kini casis dan suspensi.

Dengan kapasiti tunda sehingga 2,000 kg, CX-5 terkini lebih berkemampuan untuk gaya hidup yang aktif.

Peningkatan Ketersambungan dan Ergonomik

Aspek ketersambungan dan kebolehgunaan telah ditingkatkan melalui HMI (Human-Machine Interface) yang dirombak semula.

Skrin tengah baharu bersaiz 12.9- atau 15.6-inci menawarkan interaksi gaya telefon pintar dengan menu yang boleh disesuaikan.

Buat pertama kali untuk model Mazda, CX-5 serba baharu dilengkapi Google terbina dalam, yang bertujuan untuk memudahkan pemanduan harian.

Gugusan instrumen digital 10.25-inci dan kawalan stereng yang diperkemas membantu memastikan maklumat penting disampaikan dengan jelas.

Varian yang lebih tinggi dilengkapi dengan sistem bunyi Bose® 12-pembesar suara.

Varian dan Pilihan Dalaman

Untuk pasaran Eropah, CX-5 baharu ditawarkan dalam empat varian iaitu Prime-Line, Centre-Line, Exclusive-Line dan Homura.

Setiap varian direka dengan kemasan dalaman dan ciri-ciri berbeza.

Pilihan dalaman termasuk kulit hitam atau tan (Homura), dan kemasan kulit buatan dua tona hitam-putih serta menyerupai suede (Exclusive-Line).

Ciri Keselamatan

Dilengkapi ciri-ciri ADAS (Advanced Driver-Assistance Systems) terbaru, Mazda menyasarkan CX-5 baharu untuk menerima penarafan keselamatan Euro NCAP 5 bintang.

Ketersediaan

Diperkenalkan sekarang, Mazda CX-5 serba baharu akan mula dijual di A.S. pada awal tahun 2026.

Manakala di United Kingdom pada musim panas 2026 (sekitar Jun hingga Ogos).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here