
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyerahkan Kenderaan Berkuasa Hidrogen, atau ‘Fuel Cell Electric Vehicle’ (FCEV) Toyota Mirai kepada Jabatan Perdana Menteri.
Penyerahan simbolik itu mengukuhkan komitmen Kerajaan MADANI ke arah pembangunan teknologi rendah karbon dan pertumbuhan ekonomi yang mapan untuk masa depan.
Menerajui Ekosistem Hidrogen Negara

Inisiatif perolehan Toyota Mirai, yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api, mencerminkan usaha aktif kerajaan untuk membangunkan ekosistem hidrogen negara.
Menurut perkongsian Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah ini juga melambangkan keyakinan rakan industri, baik tempatan mahupun antarabangsa, terhadap dasar dan hala tuju Malaysia dalam bidang mobiliti hijau.
“Inisiatif ini mencerminkan keyakinan rakan industri daripada tempatan dan antarabangsa terhadap dasar dan hala tuju Malaysia, khususnya dalam membangunkan ekosistem hidrogen negara,” jelas kenyataan tersebut.
Kerjasama rentas sempadan dan pemacuan inovasi automotif di seluruh Asia Tenggara dijangka akan dirancakkan melalui inisiatif seumpama ini.
Malaysia Peneraju Peralihan Serantau

Kerajaan MADANI menyatakan komitmennya untuk terus menerajui peralihan serantau ke arah mobiliti hijau dan pintar. Tindakan itu bertujuan memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia menghadapi keperluan masa depan, tetapi turut mengambil peranan sebagai peneraju dalam membentuk landskap mobiliti.
“Kerajaan MADANI akan terus menerajui peralihan serantau ke arah mobiliti hijau dan pintar dalam memastikan Malaysia bukan sahaja bersedia menghadapi keperluan masa depan, tetapi turut menjadi peneraju dalam membentuk landskap mobiliti yang lebih bersih, selamat dan mampan untuk generasi akan datang,” tambah kenyataan itu lagi.
Dengan keupayaan mengisi minyak dalam masa lima minit, Toyota Mirai menggunakan hidrogen sel bahan api dengan potensi besar sebagai kenderaan mesra alam yang hanya mengeluarkan air.
Dengan sekali isian penuh tangki minyak mampu menawarkan pemanduan sejauh 1,000km.


























