
Wanita maut dirempuh lori ketika sedang menukar tayar kereta di KM260.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Seremban, pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 9.20 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat penapis air dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Senawang.
Rakan sekerjanya, Nur Affiqah Jamran, 30 berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan serumah mangsa sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Kami sepatutnya mesyuarat dengan arwah pagi ini, namun dia tidak muncul di pejabat membuatkan kami pelik sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan.

“Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia, mayatnya ditutup dengan kain putih,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata, kemalangan melibatkan sebuah Proton X50 dan sebuah lori kontena jenis Volvo.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu Proton X50 (wanita, 31) dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke Senawang.
“Apabila sampai di lokasi kemalangan, SUV dipandunya dipercayai mengalami kerosakan, tayar belakang sebelah kanan pancit. Pemandunya dikatakan memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan.
“Bagaimanapun, ketika sedang menukar tayar datang sebuah lori kontena yang dipandu lelaki berumur 24 tahun di lorong kiri dan dipercayai bergesel dengan pemandu kereta itu,” katanya memaklumkan mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis meminta individu yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.































