
Honda Prelude 2026 mula tiba di pusat jualan Honda di Amerika Syarikat (A.S) dan model hibrid-elektrik Honda keempat di sana.
Honda kini mencatatkan hampir satu pertiga jualan daripada model hibrid dan merancang meningkatkannya kepada lebih 60% daripada jumlah jualan automotif dalam beberapa tahun akan datang.
Selepas hebahan yang meluas, bagaimana pula dengan harga?
Prelude 2026 ditawarkan di A.S dalam satu varian lengkap dengan harga AS$42,000 (RM174,192).
Harga termasuk caj destinasi AS$1,195 menjadikannya AS$43,195 (RM179,149).
Sistem Hibrid Dua Motor Dipadankan Enjin 2.0L Atkinson
Prelude baharu menggunakan sistem hibrid dua motor Honda yang sama seperti Civic, Accord dan CR-V Hybrid.
Ia menggabungkan dua motor elektrik berkuasa dengan enjin petrol 2.0L Atkinson suntikan terus, menghasilkan 200hp dan 314.7Nm.
Kuasa ini memberi pecutan responsif ketika memulakan pemanduan atau keluar dari selekoh.
Tidak seperti transmisi konvensional atau CVT, sistem dua motor Honda tidak menggunakan gear berbilang atau pulley.
Motor pacuan menghantar kuasa terus ke roda melalui nisbah tetap, manakala kuasa enjin disepadukan melalui klac lock-up yang ringkas.
Hasilnya ialah pecutan yang linear, lancar dan cekap pada kelajuan lebuh raya.
Honda S+ Shift
Sekiranya tiba di pasaran tempatan kelak, pemandu dapat menikmati sistem S+ Shift.
Prelude menjadi model pertama Honda menggunakan S+ Shift iaitu mod pemanduan yang mensimulasikan pengalaman transmisi berprestasi.
Sistem ini mengurus RPM enjin dengan lebih tepat, memanfaatkan pedal gear untuk mensimulasikan pertukaran gear pantas, pemadan rev, pegangan gear dan bunyi enjin yang lebih agresif.
Ia meningkatkan interaksi pemandu terutama dalam mod pemanduan sporti, sambil mengekalkan keselesaan sebagai coupe Grand Touring harian.
Satu lagi yang menarik, Honda turut mengesahkan S+ Shift akan digunakan pada model hibrid masa depan.
Casis Diambil Daripada Civic Type R
Prelude 2026 menjadi model hibrid pertama Honda yang menggunakan komponen casis Civic Type R termasuk suspensi hadapan dual-axis, jejak roda lebih lebar dan sistem brek besar.
Kesemua komponen ini ditala semula khusus untuk karakter Prelude, dipadankan dengan Adaptive Damper System standard yang memberikan keseimbangan antara keselesaan dan ketangkasan.
Empat mod pemanduan iaitu Comfort, GT, Sport dan Individual membolehkan pemandu melaras respons sistem kuasa, stereng, suspensi, bunyi enjin, paparan meter dan tingkah laku kawalah jelajah adaptif.
Prestasi membrek dipertingkat dengan cakera hadapan 13.8 inci dan angkup Brembo empat omboh dalam warna biru unik Prelude. Cakera belakang berdiameter 12.0 inci.
Pilihan Warna dan Rekaan Dalaman
Prelude 2026 ditawarkan dalam lima warna iaitu Winter Frost Pearl, Meteorite Gray Metallic, Crystal Black Pearl, Rallye Red dan Boost Blue Pearl.
Warna Winter Frost Pearl hadir dengan pilihan bumbung sewarna atau hitam.
Bahagian dalaman hadir dalam dua tema iaitu gabungan biru dan putih atau hitam, kedua-duanya dengan bahan premium dan jahitan biru kontras yang sepadan dengan angkup Brembo biru.
Aksesori Rasmi Honda
Honda menawarkan pelbagai aksesori untuk meningkatkan penampilan Prelude termasuk rim 19 inci Berlina Black, spoiler belakang, spoiler bawah bampar, emblem hitam dan perumah cermin sisi.







