
Mitsubishi Motors mengesahkan SUV off-road ikonik Pajero akan kembali ke pasaran global menerusi model serba baharu yang dijadual membuat penampilan sulung dunia pada musim luruh 2026 (September hingga November).
Pengumuman itu dibuat serentak dengan pelancaran visi jangka sederhana dan panjang baharu syarikat bermula tahun fiskal 2026 hingga memasuki era 2030-an, dengan Pajero baharu dipilih sebagai model yang melambangkan identiti jenama Mitsubishi Motors.
Model tersebut menandakan kepulangan semula Pajero ke pasaran global selepas dihentikan di pasaran luar negara pada 2021.
Nama besar dalam sejarah Mitsubishi
Pertama kali diperkenalkan pada 1982, Pajero dibangunkan sebagai kenderaan rekreasi yang menggabungkan keupayaan off-road kenderaan pacuan empat roda sejati dengan tahap keselesaan sebuah kereta penumpang.
Sepanjang empat generasi pengeluarannya, Pajero berkembang menjadi antara SUV off-road paling ikonik Mitsubishi Motors dengan jualan terkumpul melebihi 3.25 juta unit di lebih 170 negara dan wilayah seluruh dunia.
Di beberapa pasaran, model tersebut dipasarkan menggunakan nama Montero.
Warisan Dakar Rally
Pajero mula menyertai Dakar Rally pada 1983 dan mencipta reputasi sebagai antara SUV off-road paling berkeupayaan di dunia.
Model itu meraih keseluruhan 12 kemenangan termasuk tujuh kemenangan berturut-turut dalam perlumbaan yang dianggap antara acara rali paling mencabar di dunia.
Kejayaan tersebut membantu membina reputasi Pajero dari segi keupayaan off-road, kestabilan pengendalian dan ketahanan yang terbukti dalam penggunaan lasak.
Di Jepun, Pajero turut menjadi antara model yang memacu fenomena ledakan kenderaan rekreasi pada era 1990-an serta membantu mempopularkan gaya hidup luar dan aktiviti rekreasi.
Keluarga model Pajero turut berkembang dengan pengenalan Pajero Mini, Pajero Junior dan Pajero iO.
Dibangunkan daripada asas Triton

Pajero baharu dibangunkan menggunakan casis rangka tangga (ladder frame) yang sama seperti pikap Triton.
Bagaimanapun, Mitsubishi Motors menjelaskan SUV tersebut menerima pembangunan khusus melibatkan kabin serta sistem suspensi hadapan dan belakang.
Gabungan tersebut direka bagi menawarkan keupayaan off-road yang tinggi tanpa mengorbankan keselesaan dan kualiti pemanduan.
Pajero baharu sedang dibangunkan sebagai model perdana baharu Mitsubishi yang mencerminkan semangat pengembaraan serta keberanian jenama itu untuk terus mencabar had kemampuan.
Pajero akan menjadi keluarga model baharu
Selain mengesahkan kemunculan semula Pajero, Mitsubishi Motors turut mengumumkan model itu akan menjadi asas kepada pembangunan siri model Pajero pada masa depan.
Perancangan tersebut merupakan sebahagian strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat yang memberi penekanan kepada produk yang mencerminkan identiti jenama Mitsubishi Motors.
Mitsubishi lancar 13 model baharu dalam tempoh enam tahun
Di bawah visi baharu, Mitsubishi Motors akan menumpukan sumber pengurusan kepada model strategik ASEAN dan kenderaan off-road yang dianggap sebagai kekuatan utama jenama tersebut.
Sebanyak 13 model baharu akan diperkenalkan dalam tempoh enam tahun akan datang.
Syarikat juga akan menumpukan pelaburan kepada pasaran yang mempunyai kelebihan daya saing tinggi, termasuk Filipina, Vietnam dan Jepun.
Mitsubishi Motors akan turut mengembangkan kehadiran di rantau berpotensi seperti Timur Tengah dan Amerika Latin.
Fokus kepada keuntungan dan perniagaan selepas jualan
Mitsubishi Motors turut merancang untuk meningkatkan keuntungan menerusi pengukuhan keseluruhan rantaian nilai perniagaan.
Selain jualan kenderaan baharu, syarikat akan memberi tumpuan kepada jualan kenderaan terpakai, pembiayaan automotif, perkhidmatan selepas jualan serta penawaran alat ganti dan aksesori.
Pada masa sama, Mitsubishi Motors akan meningkatkan daya saing kos melalui perkongsian komponen yang lebih meluas, strategi perolehan global, semakan kapasiti pengeluaran dan pengoptimuman struktur kos tetap.
Syarikat juga merancang meningkatkan produktiviti menerusi penggunaan kecerdasan buatan dan transformasi digital bagi mewujudkan struktur perniagaan yang lebih fleksibel serta berdaya tahan.
Sasaran kewangan menjelang 2030-an
Mitsubishi Motors menyasarkan keuntungan operasi sebanyak 160 bilion yen (RM3.98 bilion), margin operasi 4.5 peratus dan pulangan ekuiti atau ROE sebanyak 10 peratus menjelang tahun fiskal 2029.
Selepas tahun fiskal 2030, syarikat menyasarkan keuntungan operasi antara 200 bilion hingga 250 bilion yen (RM4.97 bilion hingga RM6.22 bilion), margin operasi sekurang-kurangnya 5.5 peratus dan ROE sekurang-kurangnya 12 peratus.
Bagi menyokong pertumbuhan tersebut, Mitsubishi Motors merancang melabur kira-kira 1 trilion yen (RM24.87 bilion) dalam pelbagai inisiatif pertumbuhan sehingga tahun fiskal 2029.
Selain itu, syarikat menyasarkan pulangan kepada pemegang saham berjumlah 100 bilion yen (RM2.49 bilion) dalam tempoh yang sama.






































