
Honda Winner R versi baharu rasmi dilancarkan ke pasaran Vietnam menerusi tiga pilihan varian :
- Standard: VND 46.16 juta (RM 7,330)
- Special Edition: VND 50.06 juta (RM 7,950)
- Sport: VND 50.56 juta (RM 8,030)
Versi Sport menampilkan warna badan merah dan hitam yang diinspirasikan daripada CBR1000RR-R, menegaskan sifat sebuah motosikal super sport.
Special Edition (Biru Hitam/Merah Hitam/Kelabu Hitam/Hitam) pula menampilkan set grafik tajam yang merentang dari kepala hingga ke badan, menekankan personaliti dan daya tarikan.
Pembangunan Honda Winner R berasaskan siri Winner yang pertama kali diperkenalkan pada 2016. Berikut fakta ringkas tentang moped berkenaan :
- Logo Winner R (Racing) yang tajam membangkitkan imej garang dan karakter sporty yang menyerlahkan semangat sebuah jentera perlumbaan sebenar.
- Menggunakan teknologi baharu “Crystal Light” pada sistem lampu LED yang meningkatkan kecerahan lampu hadapan.
- Gugusan lampu hadapan diintegrasikan menjadi satu unit dan diletakkan lebih rendah yang diinspirasikan daripada motosikal super sport.
- Reka bentuk bahagian hadapan Winner R adalah serba baharu dan bersudut.
- Winner R direka untuk meningkatkan prestasi dan aerodinamik. Lampu signal hadapan diintegrasikan dengan kemas ke dalam badan.
- Pemegang belakang disembunyikan di bawah pelana sekaligus menghasilkan rupa yang lebih ramping dan elegan.
- Kluster instrumental LCD memaparkan informasi tunggangan seperti kelajuan, trip, posisi gear, baki minyak dan lain-lain.
- Moped itu turut dilengkapi dengan port pengecas USB jenis A.
Winner R menggunakan enjin 150cc DOHC empat injap berkuasa 11.5kW @ 9000rpm dan tork 13.5Nm @ 7,000rpm serta kotak gear 6-kelajuan.
Enjin itu ditala dengan sudut bukaan injap yang dioptimumkan, digabungkan dengan klac Assist and Slipper dua hala, rantai O-ring, dan sistem brek ABS hadapan.