
Identiti penunggang motosikal yang maut selepas kenderaannya berlanggar dan diseret kenderaan pacuan empat roda sejauh 40 meter di KM7, Jalan Bera-Mayam, di Bera pada Selasa telah dikenalpasti.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mangsa dikenali sebagai Mohamad Hasli Wafi Kamaludin, 17, beralamat di Kampung Pauh, Temangan, Kelantan.
Menurutnya, keluarga mangsa kini tinggal di Janda Baik, Bentong.
“Ketika kejadian, mangsa difahamkan bergerak dari Janda Baik kira-kira jam 7 petang, Isnin untuk menemui tunang di Felda Purun.
“Mangsa juga tidak bertatu sebagaimana dakwaan sebelum ini, sebaliknya ia adalah baju dalam tipis yang dipakai mangsa yang kelihatan seakan-akan tatu lembap,” katanya.
Dalam nahas melibatkan tiga kenderaan kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa dipercayai diseret sejauh 40 meter selepas bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu dua kenderaan pacuan empat roda masing-masing berusia 23 dan 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Zulkiflee dalam kenyataan sebelum ini berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari arah Bera menghala ke Mayam.