
Dua pelajar tingkatan tiga antara tujuh individu yang dicekup polis selepas dipercayai menunggang motosikal secara berbahaya dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Sungai Udang, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata semua yang ditahan berusia antara 15 hingga 30 tahun dalam operasi yang bermula jam 2 pagi itu.
Menurutnya, mereka dipercayai melakukan kesalahan jalan raya termasuk menunggang motosikal secara melulu yang bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.

Katanya, polis turut mengeluarkan 376 saman atas pelbagai kesalahan trafik selain menyita 50 motosikal untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Ibu bapa perlu memantau pergerakan anak-anak, terutama yang bawah umur supaya tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti ini.
“Kita juga menasihatkan remaja tidak terbabit dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
Muhammad Zaki berkata, dalam operasi itu sebanyak 172 kenderaan diperiksa melibatkan 187 individu berusia antara 15 hingga 30 tahun.
Seramai 14 individu turut menjalani saringan ujian air kencing dalam operasi berkenaan namun semuanya didapati negatif dadah.
Menurutnya, kesalahan paling tinggi direkodkan ialah tiada nombor pendaftaran motosikal (68); gagal mematuhi arahan (51); diikuti melanggar lampu isyarat merah (50) selain tiada cermin sisi (33).






























