
Tiga buah kereta milik Cikgu Chandra dibakar di kediamannya dipercayai dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.
Menurut perkongsian pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung di media sosial Facebook, kejadian berkenaan berlaku awal pagi Selasa pada jam 3.19 pagi.
“Awal pagi tadi dalam jam tiga lebih, mereka membakar ketiga-tiga buah kereta Cikgu Chandra.
“Mujur polis dan bomba sampai cepat untuk memadamkan api dan mengawal keadaan,” tulisnya.

Jelasnya, susulan kejadian itu Cikgu Chandra memaklumkan pihak polis mengawal kawasan persekitaran rumah dan menjaga keselamatan keluarganya.
“Saya yakin polis bakal menangkap suspek, dalang serta penghasut dalam waktu terdekat ini. Jangan marah polis kerana mereka sedang menjalankan tugas mereka,” kongsinya.
Tambah beliau, sebelum kejadian berkenaan tiga buah kenderaan dan sekumpulan lelaki memakai topeng penuh dengan membawa senjata parang didakwa memecahkan cermin kereta serta tingkap kediamannya.
Serangan itu berlaku beberapa hari selepas seorang pendakwah bebas terkenal, Zamri Vinoth, diserang sekumpulan lelaki ketika berada di dalam keretanya.






























