
Bermula tahun 2026, satu set undang-undang baharu akan dilaksanakan khusus untuk kenderaan elektrik yang menekankan aspek kecekapan tenaga di China.
Dengan mengambil kira berat keseluruhan kenderaan, setiap pengeluar perlu memastikan kadar kecekapan tenaga tidak melebihi angka yang telah ditetapkan.
Seperti contoh, kenderaan elektrik penumpang seberat dua tan perlu mematuhi kadar kecekapan tenaga yang tidak melebihi 15.1 kWh per 100 km.
Pelaksanaan peraturan baharu ini adalah untuk memastikan pengeluar tidak sewenang-wenangnya memasang bateri yang lebih besar untuk mencapai jarak pandu yang lebih jauh.
Dengan peraturan baharu yang lebih ketat 11 peratus berbanding undang-undang sedia ada, pihak berkuasa percaya para pemilik EV akan dapat melihat kadar penggunaan tenaga lebih cekap dan jarak pandu meningkat 7 peratus secara purata.
Peraturan baharu ini direka khusus untuk segmen kenderaan penumpang berkuasa elektrik tulen dan tidak merangkumi model yang dilengkapi dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) dan unit penambah jarak (REEV).
Menurut laporan CarNewsChina, kebanyakan pengeluar EV utama seperti BYD dan Geely sudah pun mematuhi undang-undang kecekapan tenaga baharu itu.
Mana-mana kenderaan yang tidak dapat memenuhi keperluan baharu itu harus dinaik taraf aspek teknikalnya, atau dikeluarkan terus daripada barisan produksi.




























