Utama Berita Automotif Morbidelli T125X, motosikal kembara dengan enjin 125cc!

Morbidelli T125X, motosikal kembara dengan enjin 125cc!

7

Morbidelli memperkenalkan T125X, sebuah motosikal trail kembara dengan enjin 124cc. Model ini direka khusus untuk penunggang yang ingin merasai pengalaman rali seawal kilometer pertama tunggangan mereka.

Walaupun berkongsi asas mekanikal yang sama dengan sebuah lagi model trail iaitu T125, varian X tampil dengan ciri-ciri dan reka bentuk yang lebih agresif serta berorientasikan kembara lasak yang diinspirasikan daripada jentera Rally Raid.

Reka Bentuk dan Kelengkapan Kembara

Penampilan T125X jelas membangkitkan aura kelasakan melalui bahagian hadapan yang agresif dengan padanan lampu utama jenis LED berkembar yang disusun secara bertingkat.

Bagi meningkatkan keselesaan dan perlindungan, motosikal ini dilengkapi dengan penghadang angin gelap yang boleh dilaraskan serta madgad hadapan jenis tinggi.

Sebagai sebuah jentera kembara, Morbidelli melengkapi T125X dengan pelbagai aksesori standard yang penting.

Di antaranya pelindung enjin berwarna hitam yang kukuh, pelindung tangan bersepadu pada hendal, serta pelindung bawah enjin atau skid plate.

Di bahagian belakang pula, terdapat rak bagasi praktikal yang turut disertakan dengan pemegang untuk kegunaan pembonceng.

Enjin 124cc DOHC 1 Silinder

Motosikal ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 124cc moden yang menggunakan sistem agihan 4 injap DOHC serta sistem penyejukan cecair.

Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 14.6 ps pada 9,500 rpm dan hantaran tork maksimum sebanyak 11.0Nm pada 7,600 rpm.

Kuasa tersebut disalurkan melalui kotak gear 6 kelajuan untuk memberikan prestasi yang bertenaga sama ada di atas jalan raya biasa mahupun di laluan tidak berturap.

Di sebalik gaya lasak, penunggang perlu berdamai dengan kelajuan di jalan terbuka kerana kelajuan maksimum T125X hanya 99 kilometer sejam (km/j).

Kerangka dan Sistem Suspensi

T125X menggunakan rangka jenis double cradle keluli yang kuat bagi memastikan kestabilan optimum.

Kelebihan utama varian X ini terletak pada sistem suspensi jarak gerak (travel) jauh, di mana bahagian hadapan menggunakan fork jenis terbalik bersaiz 41 mm dengan jarak 177 mm.

Bagi bahagian belakang, ia dilengkapi dengan sistem penyerap hentak tunggal atau mono shock yang boleh dilaraskan tahap prabeban dengan jarak 55 mm.

Keyakinan untuk mengendalikan permukaan jalan yang tidak rata dipertingkatkan lagi dengan penggunaan rim jenis berjejari dalam saiz klasik trail.

Tayar hadapan menggunakan saiz 90/90 19 manakala tayar belakang menggunakan saiz 110/90 17.

Ciri Keselamatan dan Teknologi

Sistem brek jentera ini terdiri daripada cakera hadapan bersaiz 265 mm dengan angkup 2 omboh dan cakera belakang bersaiz 220 mm juga dengan angkup 2 omboh.

Semua sistem brek ini dikawal oleh sistem brek anti kunci atau ABS dua saluran secara standard.

Dari sudut teknologi, T125X dilengkapi dengan panel instrumen jenis LCD dan suis pada hendal yang mempunyai lampu latar bagi memudahkan penggunaan pada waktu malam.

Selain itu, terdapat juga port pengecasan USB jenis C, sistem lampu LED sepenuhnya serta fungsi lampu amaran.

Harga dan Keperluan Pasaran

Di pasaran United Kingdom, model ini ditawarkan pada harga £2,999 atau bersamaan RM15,921.69.

Motosikal berenjin kecil seperti kategori 125cc ini mempunyai permintaan besar dan penting di Eropah.

Pasaran motosikal berenjin kecil 125cc sangat penting di sana disebabkan faktor kategori lesen.

Sistem di sana membenarkan pemegang lesen A1 bagi remaja atau penunggang baharu untuk mengendalikan jentera ini.

Selain itu, pemegang lesen kereta tertentu juga boleh menunggang motosikal dalam kelas kapasiti ini tanpa perlu menduduki ujian lesen motosikal besar yang lebih sukar.

Spesifikasi Teknikal Morbidelli T125X

  • Enjin: 124cc, 1 silinder 4 lejang 4 injap
  • Kuasa Maksimum: 14.6 ps@9,500 rpm
  • Tork Maksimum: 11.0Nm@7,600 rpm
  • Kelajuan Maksimum: 99 km/j
  • Sistem Penyejukan: Cecair
  • Sistem Bahan Api: EFI Bosch
  • Transmisi: 6 kelajuan
  • Rangka: Jenis Double cradle
  • Suspensi Hadapan: Teleskopik Terbalik 41 mm
  • Suspensi Belakang: Penyerap hentak tunggal dengan pelarasan prabeban berterusan
  • Lengan Ayun Belakang: Jenis dua sisi keluli
  • Brek Hadapan: Cakera dengan angkup 2 omboh
  • Diameter Brek Hadapan: 265 mm
  • Brek Belakang: Cakera dengan angkup 2 omboh
  • Diameter Brek Belakang: 220 mm
  • Sistem Keselamatan: ABS dua saluran
  • Rim: Jejari
  • Tayar Hadapan: 90/90 19
  • Tayar Belakang: 110/90 17
  • Panel Instrumen: LCD
  • Port Pengecasan: USB Jenis C
  • Ketinggian Pelana: 820 mm
  • Kapasiti Bahan Api: 11.7 Liter
  • Berat: 148 kg

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here