
Isu kesesakan lalu lintas di ibu kota memerlukan penyelesaian drastik melalui pengenalan ‘faktor penolak’ (pushing factor) bagi menggalakkan pengguna kenderaan peribadi beralih kepada sistem pengangkutan awam.
Menurut penganalisis dalam program Agenda AWANI, Naib Canselor UPM, Datuk Prof Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, strategi penyelesaian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pengguna kereta, malah perlu merangkumi golongan penunggang motosikal yang kini menjadi antara faktor utama gangguan kapasiti jalan raya.
Beliau menegaskan isu utama adalah kos perjalanan menyeluruh bagi memastikan pengangkutan awam menjadi pilihan yang lebih logik, terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Apabila kos penggunaan kenderaan peribadi menjadi terlalu tinggi dan tidak lagi mampu ditanggung, pengguna secara automatik akan merasakan perlu menggunakan pengangkutan awam yang tersedia.
Selain itu, jelasnya Malaysia berdepan cabaran unik kerana jumlah motosikal yang terlalu tinggi di atas jalan raya.
Lambakan kenderaan dua roda ini bukan sahaja mengganggu kapasiti aliran trafik, malah memberi kesan besar terhadap tahap kesesakan yang dialami pengguna setiap hari.
“Terlalu jauh… bagi saya pengguna motosikal itu perlu dibawa kepada pengangkutan awam.
“Tetapi motosikal ini mempunyai kekuatannya sendiri, dia boleh cilok..boleh merentasi dan cepat. Tapi itulah… cabaran kita dan bagi saya untuk kita serius menyelesaikan masalah ni, kita kena carilah penyelesaian yang paling baik.
“Bagi saya, kita kena cuba bawa pengguna motosikal dan juga kereta ke pengangkutan awam. Selama ini kita banyak bercakap pasal pengguna kereta, walhal pengguna motosikal juga perlu diberi tumpuan untuk beralih,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bukan mudah untuk menarik dan meyakinkan penunggang motosikal bertukar kepada pengangkutan awam.






























