Utama Berita Automotif Hakim Danish sedia gegar Moto3 (2026)

Hakim Danish sedia gegar Moto3 (2026)

22

Hakim Danish Ramli bakal berdepan cabaran baharu menjelang musim penuh pertamanya dalam kategori Moto3 Kejuaraan Dunia MotoGP (2026) yang membuka tirai di Grand Prix Thailand, minggu depan.

Perlumbaan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, dianggap medan terbaik untuk memulakan kempen dengan langkah positif, lebih-lebih lagi ia berlangsung di rantau Asia yang lebih hampir dengan persekitaran dan cuaca yang biasa dihadapinya.

Bagi pelumba berusia 18 tahun itu, faktor cuaca panas dan lembap mungkin memberi sedikit kelebihan dalam proses penyesuaian diri berbanding perlumbaan di Eropah.

Hakim Danish sebelum ini menamatkan ujian musim sejuk di Circuito de Jerez, Sepanyol, namun persiapannya sedikit terganggu selepas terlibat dalam kemalangan di pertengahan sesi ujian minggu lalu.

Insiden itu menyebabkan jenteranya mengalami kerosakan teruk dan mengehadkan masa tunggangan bersama pasukan MSi Racing Team. Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius.

“Bagi pusingan pertama di Thailand, saya jangkakan ia akan berbeza dari segi cuaca dan keadaan litar.

“Saya harap keadaan di sana dapat membantu saya untuk terus menyesuaikan diri dan meningkatkan prestasi,” katanya.

Menurutnya, kemalangan itu bukan penghalang, sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran di pentas yang jauh lebih kompetitif.

“Ujian ini amat penting untuk saya mengumpul maklumat, mendapatkan keyakinan dan membina keserasian bersama jentera,” jelasnya. 

Hakim Danish menamatkan kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup musim lalu di kedudukan ketiga keseluruhan sekali gus pencapaian yang membuka laluan ke pentas dunia.

Musim ini, dia bakal bergandingan dengan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka, dalam usaha memperkukuh kedudukan pasukan serta memburu mata penting dalam kategori Moto3.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here