Perodua eksport kereta terpakai ke Bangladesh

252

Perodua telah memulakan inisiatif eksport kenderaan terpakai ke pasaran antarabangsa bermula dengan Bangladesh.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata  langkah itu adalah sebahagian daripada strategi untuk mengawal ketepuan kenderaan di Malaysia, sekaligus membantu mengekalkan Volum Keseluruhan Industri (TIV) tempatan.

“Perodua juga sedang mengkaji pasaran di Kenya dan Mozambique sebagai destinasi eksport seterusnya bagi kereta terpakai.

“Sebab ini adalah satu cara untuk memastikan kereta-kereta terpakai Perodua ini khususnya dapat disalurkan ke negara lain dan pada masa sama kereta baharu juga dapat dijual,” katanya ketika ditemui selepas acara Japan Mobility Show (2025).  

Sementara itu, beliau berkata Perodua sedang menilai semula kedudukannya di pasaran utama seperti Indonesia bagi pasaran eksport kenderaan baharu. 

Zainal Abidin mengakui volum jualan model Myvi, yang dikenali sebagai Sirion di Indonesia, tidak begitu memberangsangkan kebelakangan ini.

“Volum Sirion tidak memberangsangkan, so kita tengah review balik. Dan insya-Allah, kalau kita boleh come up dengan sesuatu yang baharu di Indonesia market, saya rasa kita boleh maintain untuk certain numbers,” jelasnya.

Zainal Abidin turut mengakui akan wujudnya impak jualan daripada pelaksanaan kenderaan nasional Indonesia yang sedang dirancang.

Justeru, Perodua sedang meneroka pasaran eksport baharu selain Brunei dan Indonesia sebagai langkah mitigasi.

Empat tahun lalu, Zainal Abidin mendedahkan pihaknya membuat kajian untuk eksport kereta terpakai daripada Perodua Pre-Owned Vehicle (POV) yang sudah wujud sejak 2017.

Ia merupakan salah satu perniagaan kenderaan terpakai yang sudah melalui pemeriksaan rapi serta baik pulih, seperti Toyota Topmark. Pembeli kenderaan POV didatangkan dengan jaminan terhadap rekod perbatuan serta tambahan waranti selama 18 bulan.

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here