
Perodua menyatakan kesediaan untuk mengkaji dan meneroka potensi pasaran Timor Leste susulan penerimaan negara itu sebagai ahli baharu ASEAN yang ke-11.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata pihaknya sedang meneliti peluang di negara tersebut dengan harapan Timor Leste akan menjadi pasaran eksport baharu untuk jenama Malaysia itu.
“Kita tengah study Timor Leste. Bukan Timor Leste sahaja, Brunei memang kita sudah ada. Indonesia ada. Timor Leste insya-Allah kita akan study juga. Dan hopefully ia akan jadi satu market juga untuk Perodua,” katanya.
Beliau menyatakan usaha Perodua untuk meluaskan pasaran eksport ke negara-negara baharu didorong oleh kejayaan jenama itu diterima di luar negara.

“Kita eksport Bezza ke Papua New Guinea, dan alhamdulillah, Bezza kita dijadikan kereta polis di sana pada hari sambutan kemerdekaan pula dia pakai kereta kita tu.
“Jadi, it is something yang amat membanggakanlah,” katanya ketika ditemui selepas acara Japan Mobiliti Show (2025).
Beliau juga mengharapkan Perodua akan menjadi jenama boleh dipercayai di negara berkenaan.
Tambahan Timor Leste dalam blok ekonomi serantau dijangka membuka ruang dan laluan yang lebih mudah bagi jenama automotif tempatan seperti Perodua untuk terus bersaing dan meluaskan tapak di pasaran Asia Tenggara.
 
        


