
CFMOTO Malaysia melancarkan model terbaharu mereka, CFMOTO 250SR Lite sempena acara MotoGP Malaysiabaru-baru ini.
Jentera itu ditawarkan pada harga RM9,988.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), dan kini boleh didapati di semua pengedar sah CFMOTO di seluruh Malaysia.
Ia hadir dengan tiga pilihan warna bergaya iaitu Nebula Black, Gem Black dan Zephyr Blue, menggambarkan personaliti muda, moden dan berani di jalan raya.
Dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, 4-lejang, DOHC, penyejukan cecair dengan sesaran 249 cc, CFMOTO 250SR Lite mampu menjana kuasa maksimum 27 hp pada 9,750 rpm dan tork maksimum 22 N·m pada 7,250 rpm. Ia menjanjikan prestasi bertenaga sama ada di jalan bandar mahupun lebuh raya.
Enjin ini menampilkan nisbah mampatan 11.3:1 serta ukuran piston dan lejang 72 mm × 61.2 mm, digandingkan dengan sistem suntikan bahan api EFI untuk pembakaran yang lebih bersih dan efisien.

Dilengkapi klac gelincir berbilang plat jenis basah, ia memastikan penukaran gear yang lancar dan mengurangkan kesan hentakan roda belakang ketika melakukan downshift secara agresif.
Dari segi pengendalian, CFMOTO 250SR Lite menggunakan sistem suspensi fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang, masing-masing dengan jarak gerak 120 mm (hadapan) dan 40 mm (belakang) bagi kestabilan maksimum.
Sistem membrek pula terdiri daripada cakera tunggal 292 mm dengan angkup dwi-piston di hadapan dan cakera 220 mm dengan angkup tunggal di belakang, disokong oleh sistem ABS dwi-saluran bagi memastikan keselamatan optimum ketika membrek dalam pelbagai keadaan jalan.
Selain itu, ia dipadankan dengan tayar hadapan 110/70-R17 dan tayar belakang 140/60-R17, kedua-duanya jenis tanpa tiub, bersama rim aloi aluminium 17 inci yang ringan dan kukuh.
Dari aspek dimensi, CFMOTO 250SR Lite berukuran:
-
Panjang: 2,010 mm
-
Lebar: 750 mm
-
Tinggi: 1,080 mm
-
Jarak roda: 1,360 mm
-
Ketinggian tempat duduk: 780 mm
-
Kelegaan tanah: 135 mm

Berat keseluruhan jentera ini ialah 165 kg, menjadikannya ringan dan lincah untuk dikendalikan.
Tangki bahan api berkapasiti 12 liter memberikan jarak tunggangan yang mencukupi untuk perjalanan jauh tanpa perlu berhenti kerap.
Ciri-ciri moden turut melengkapkan model ini, termasuk paparan meter digital, port pengecasan USB Jenis-A dan Jenis-C, serta sistem lampu LED sepenuhnya meliputi lampu utama, isyarat membelok, lampu kecemasan dan lampu belakang.
@motoqar CFMOTO 250 SR LITE.. Ingatkan buat lawak harga macam tu, rupa-rupanya memang betul wei! #CapCut #cfmoto #motoqar ♬ 摇滚之力 Rock Power – Whalesound
Reka bentuknya menampilkan konsep karbon sporty dan moden, manakala cermin pelindung angin yang tebalmeningkatkan perlindungan aerodinamik ketika menunggang laju.
Bahagian ekzos turut direka dengan gaya sporty, seiring dengan penampilan keseluruhan motosikal yang menyerlahkan semangat CFMOTO.
Dengan setiap pembelian CFMOTO 250SR Lite, pembeli akan menikmati waranti perbatuan tanpa had selama dua tahun, serta kemudahan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian daripada CFMOTO Malaysia.

































