
Seorang lelaki didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan membakar lori miliknya bagi mengelak disita pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Aimullah Che Ambok, 31, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menghalang pegawai JPJ yang merupakan penjawat awam daripada menjalankan tugas.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Air, Jalan Tepoh pada pukul 1.30 petang, 22 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.
Minggu lalu tular di media sosial, pemilik lori mengambil tindakan drastik dengan membakar kenderaan tersebut bagi mengelak lori disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata hasil semakan lanjut mendapati lori itu gagal menjalani pemeriksaan Puspakom sejak tahun 2023































