
Amerika Syarikat (AS) memilih Malaysia untuk menerima sebuah lagi kapal Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) yang telah dilucut tauliah serta peruntukan sebanyak USD 7 juta (RM29.4 juta) di bawah program Dana Ketenteraan Asing (FMF) bagi meningkatkan keupayaan kesedaran domain maritim negara.
Bagaimanapun, Setiausaha Rendah Negara bagi Hal Ehwal Politik Jabatan Negara AS, Allison Hooker berkata penyerahan kapal itu bergantung kepada kelulusan Kongres.
Beliau berkata pengumuman itu mencerminkan komitmen Washington untuk memperkukuh kerjasama maritim dengan Malaysia melalui usaha peningkatan keupayaan dan penguatkuasaan.

“Saya berterima kasih dengan Malaysia atas komitmennya memperkukuh perkongsian ketika kita memperluas kerjasama melalui peningkatan kapasiti dan aktiviti penguatkuasaan.
“Bersama-sama, kita berkongsi matlamat bahawa perairan Malaysia tidak akan digunakan sebagai hab bagi aktiviti haram.
“Penambahan aset dan dua kapal itu akan memperkukuh keupayaan Malaysia untuk melindungi perairannya,” katanya.
Pengumuman itu dibuat semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Isu Maritim sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad.
Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) secara rasmi telah menerima kapal bekas milik Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) “Steadfast” di Wheaton O’Thorp Centre (WOTC) di Amerika Syarikat pada 6 September lalu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata Malaysia komited melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dalam domain maritimnya.
































