
Geely EX5 dilancarkan secara rasmi di United Kingdom (UK) yang juga menandakan kemasukan rasmi Geely Auto Group ke pasaran UK.
EX5 merupakan sebahagian daripada strategi Geely untuk mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak 100,000 kenderaan di UK menjelang 2030.
Pertumbuhan ini akan disokong oleh rangkaian komprehensif 100 pusat jualan dan perkhidmatan di seluruh UK menjelang 2026, bersama sistem pengedaran alat ganti dan penyelenggaraan yang mantap.
Perluasan ke Eropah
Sebelum pelancaran di UK, Geely Auto telah pun bertapak di 12 negara Eropah, termasuk Poland, Greece dan Croatia.
Pasaran UK akan berfungsi sebagai hab strategik untuk pengembangan ke pasaran utama lain, termasuk Itali, Jerman, Perancis dan Sepanyol.
Geely merancang untuk melancarkan 15 kenderaan baharu dalam tempoh lima tahun akan datang yang disesuaikan untuk pengguna Eropah.
Syarikat ini menyasarkan untuk menjadi jenama automotif arus perdana di Eropah, dengan rangkaian jualan yang disokong oleh lebih daripada 1,000 cawangan.
Momentum Global EX5
Geely EX5 telah menikmati kejayaan global yang luar biasa, kini boleh didapati di 33 negara merentasi Eropah, Asia, Oceania, Timur Tengah dan Amerika.
- Di Costa Rica, EX5 menduduki tempat nombor satu dalam segmennya bagi separuh pertama tahun 2025.
- Di Greece, model ini turut memperoleh jualan segmen teratas pada September 2025.
- Australia menyaksikan pertumbuhan pesat model ini sejak dilancarkan pada Mac 2025.
- Di Brazil, EX5 menguasai segmennya dengan kedudukan jualan nombor satu selama 2 bulan berturut-turut selepas pelancaran rasmi.
Harga dan Skim Diskaun
Di UK, harga Geely EX5 bermula dari £31,990 (RM179,484) untuk varian permulaan SE hingga £36,990 (RM207,481) untuk varian teratas Max.
Semasa pelancaran, hanya satu rangkaian kuasa tersedia, terdiri daripada motor tunggal 215 hp dan bateri 60kWj yang memberikan jarak pemanduan sehingga 414 kilometer (257 batu).
Pasaran UK tidak menerima bateri 49.52 kWj seperti Proton e.MAS 7 di dalam negara.
Sebagai respon kepada Geran Kereta Elektrik (ECG) kerajaan UK, Geely menawarkan geran mereka sendiri untuk EX5, dengan diskaun dari harga asal seperti berikut:
- EX5 SE: Potongan £2,300 (RM12,901.16).
- EX5 Pro: Potongan £3,200 (RM17,949.44).
- EX5 Max: Potongan £3,750 (RM21,034.50), jumlah diskaun ini menyamai diskaun terbesar kerajaan.
Geely Holding Group di UK
Syarikat induk Geely Auto, Geely Holding Group, telah bertapak di UK selama hampir dua dekad, bermula dengan pelaburan pada tahun 2006 dalam London Taxi Company yang kini dikenali sebagai LEVC.
Selain itu, Geely Holding mempunyai pelaburan strategik dalam jenama British iaitu Lotus dan Aston Martin


































