
Gara-gara mengelak lori disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, pemilik mengambil tindakan drastik dengan membakar kenderaan tersebut.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Air, di Kuala Nerus pada Rabu.
Menurutnya, ketika itu pasukan rondaan JPJ mengesan sebuah lori yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori merupakan remaja bawah umur, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan tersebut telah tamat tempoh lebih dua tahun.
“Semakan lanjut mendapati lori itu gagal menjalani pemeriksaan Puspakom sejak tahun 2023,” katanya.
Susulan itu, anggota JPJ kemudiannya mengambil tindakan menyita lori tersebut mengikut peruntukan undang-undang, namun pemilik kenderaan yang tiba di lokasi enggan memberi kerjasama.
“Pemilik lori berkenaan cuba menghalang tindakan anggota JPJ dengan bertindak membakar kenderaan itu sekali gus menyebabkan berlakunya kekecohan di lokasi kejadian,” katanya.
ENAM SAMAN AKTIF
Hasil siasatan awal mendapati pemilik syarikat mempunyai enam saman aktif atas nama syarikat serta empat saman atas nama pemandu.
Antara kesalahan yang direkodkan termasuk memandu tanpa LKM sah, tiada insurans, pemandu bawah umur di bawah 17 tahun serta dua kesalahan ubah suai kenderaan.
Menurut Mohd Zamri, tindakan lanjut akan diambil selaras dengan peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selain dirujuk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“Kes ini juga akan dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi siasatan berkaitan penggajian pemandu bawah umur,” ujarnya.