
Kementerian Pengangkutan mengumumkan penyelarasan dalam sistem pembayaran saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi prinsip “the less you delay, the less you pay“
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa sistem baharu itu akan menamatkan amalan diskaun saman bermusim dan bermula 1 Januari 2026.
“Saman yang dikeluarkan bertujuan sebagai pencegahan (deterrent) terhadap sikap pemanduan yang merbahaya, bukannya untuk dikutip berulang kali sebagai sumber pendapatan. Kita mahu memupuk budaya pemanduan yang selamat,” katanya.
Struktur Diskaun Baharu Yang Lebih Ketat
Di bawah sistem yang diseragamkan ini, struktur pengurangan saman akan dilaksanakan berdasarkan tempoh masa pembayaran:
Loke menegaskan bahawa tindakan undang-undang termasuk senarai hitam atau tindakan mahkamah akan diambil serta-merta selepas tempoh 60 hari tamat jika saman masih tidak dijelaskan.
Peluang Terakhir: Diskaun Khas Hujung Tahun
Sebelum sistem baharu ini berkuatkuasa, pengguna jalan raya diberi peluang terakhir untuk membersihkan rekod saman tertunggak.
“Bagi saman tertunggak sedia ada, pengguna boleh melangsaikannya pada kadar pengurangan antara 50 hingga 70 peratus sehingga hujung tahun ini,” jelas Loke.
Beliau memberi amaran bahawa tiada lagi diskaun akan diberikan kepada saman tertunggak selepas tempoh pengampunan khas ini berakhir.
Tambah beliau, diskaun saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) dikekalkan pada kadar 50 peratus bermula 1 November hingga 31 Disember ini.
“Kadar itu dibuat bagi memastikan keadilan kepada individu yang telah membuat bayaran saman lebih awal sejak tawaran diskaun 50 peratus dilaksanakan pada awal tahun ini,” ujarnya.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan PDRM akan menawarkan diskaun saman trafik sehingga 70 peratus bermula 1 November hingga 30 Disember ini sebagai langkah terakhir sebelum pelaksanaan kaedah baharu pembayaran saman bermula 2026.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jumlah tunggakan saman trafik yang masih belum dijelaskan di seluruh negara kini dianggarkan mencecah RM6.6 bilion.
“Sekiranya tawaran ini mendapat sambutan baik, kita dapat mengurangkan beban tunggakan dengan ketara.
“Selepas tempoh ini, kedua-dua agensi iaitu JPJ dan PDRM trafik akan menilai semula pendekatan penguatkuasaan terhadap mereka yang masih gagal membuat bayaran,” katanya.