
Polis berjaya mengutip kompaun bernilai RM24,960 melalui Operasi Saman Tertunggak Warga Asing (OSTWA) selama tiga hari bermula Selasa lalu di Padang Besar, sekali gus mempertingkatkan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan pengguna warga asing.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata pelaksanaan operasi itu melibatkan 25 pegawai dan anggota polis dengan pemeriksaan terhadap kira-kira 380 kenderaan pelbagai jenis terutama van penumpang serta motosikal yang memasuki negara ini melalui pintu sempadan.
Beliau berkata sebanyak 143 saman tertunggak dilunaskan setakat tengah hari Khamis melibatkan pelbagai kesalahan antaranya memandu laju, tiada lesen memandu, tidak mematuhi syarat permit serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

“Operasi turut mengesan sebuah motosikal milik warga asing yang mempunyai 23 saman tertunggak berjumlah RM4,520 dan kesemuanya berjaya dijelaskan sebelum kenderaan itu dilepaskan,” katanya.
Mohd Shokri berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pesalah trafik termasuk warga asing yang berulang-alik ke negara ini bagi urusan perniagaan atau pelancongan dan tindakan tegas akan diambil sehingga kompaun dijelaskan sepenuhnya.
“Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengurangkan jumlah saman tertunggak yang masih tinggi, selain memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata polis turut menyediakan kaunter pertanyaan di balai trafik bagi memudahkan warga asing menyemak dan menjelaskan saman mereka di samping menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas kepada pihak berkuasa.
































