
“Alasan stok habis, padahal tangki masih ada minyak,” itu taktik licik sebuah stesen minyak di Juru (arah utara) yang akhirnya memakan diri selepas diserbu pihak berkuasa, pada malam Rabu.
Tindakan tersebut diambil susulan satu video tular di media sosial yang memaparkan keengganan stesen berkenaan menjual diesel kepada seorang pemandu lori sehingga mencetuskan kemarahan warga maya.
Bertindak atas maklumat awal, sepasukan lima pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah digerakkan ke lokasi kejadian pada jam 8 malam, hari yang sama.
Hasil pemeriksaan mendapati bekalan diesel sebenarnya masih ada dan mencukupi, sekali gus menyangkal dakwaan awal pihak pengurusan stesen tersebut.

Siasatan lanjut mendedahkan stesen minyak itu mengehadkan pembelian diesel hanya sebanyak 20 liter sahaja bagi pelanggan selain daripada ‘pelanggan tetap’ mereka.
Menurut kenyataan media, kes kini disiasat di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu kesalahan melibatkan keengganan menjual barang kawalan.
KPDN menyeru orang awam untuk terus menjadi “mata dan telinga” kerajaan bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan melalui gerakan KITA GEMPUR.
Sebarang aduan berkaitan salah laku peniaga atau isu bekalan boleh disalurkan melalui:
- WhatsApp: 019-848 8000
- Portal e-Aduan: kpdn.gov.my
- Call Centre: 1-800-886-800
- Aplikasi: Ez ADU KPDN





























