
Sempena Japan Mobility Show 2025, Honda memperkenalkan Super-ONE Prototype, iaitu model EV kompak yang pertama kali didedahkan kepada dunia.
Ia dibina dengan konsep “e: Dash BOOSTER”, iaitu EV yang direka untuk menjadikan perjalanan harian lebih menyeronokkan, bersemangat dan penuh gaya.
Nama “Super-ONE” sendiri membawa maksud keinginan Honda untuk menghasilkan sebuah kereta yang luar biasa (“super”) dan unik (“one and only”).

Walaupun bersaiz kecil dan efisien, Super-ONE Prototype mengekalkan DNA “fun to drive” yang menjadi identiti Honda.
Platform ringan yang digunakan daripada siri N membolehkan pemanduan lebih tangkas dan sporty.
Bentuknya yang lebar dan rendah, bersama fender “blister” yang menonjol dan tayar besar, memberi gaya agresif serta kestabilan ketika dipandu.

Bahagian dalamannya menekankan fokus kepada pemandu dengan tempat duduk sport khas, posisi pemanduan rendah dan panel instrumen minimalis yang mengurangkan gangguan visual.
Kombinasi warna biru pada permukaan tempat duduk memberi sentuhan muda dan ‘fun’, manakala paparan digital.
Ciri paling menarik ialah “Boost Mode”, mod pemanduan khas yang meningkatkan kuasa motor dan menghasilkan pemanduan kereta bertransmisi manual 7-kelajuan.

Ia lengkap dengan bunyi enjin maya dan rasa pertukaran gear sebenar sekali gus menjadikan pengalaman memandu EV ini lebih “hidup”.
Super-ONE Prototype Sudah diuji di beberapa negara termasuk Jepun, UK dan Asia Tenggara, memastikan ia sesuai untuk pelbagai keadaan jalan dan cuaca.
Sebelum ini, model konsepnya iaitu Super EV Concept membuat penampilan di Goodwood Festival of Speed 2025 di UK, mempamerkan keupayaan sebenar EV Honda yang berorientasikan prestasi.
Honda merancang untuk melancarkan versi produksi bermula 2026, bermula di Jepun sebelum diperluas ke pasaran seperti UK dan negara Asia lain.
Nama model akan berbeza mengikut pasaran:
•Super-ONE (Jepun dan Asia/Oceania)
•Honda Super-ONE (beberapa negara Asia)
•Super-N (UK)




