Sistem ekzos Milltek Sport untuk Honda Civic Type R FL5

7

Honda Civic Type R sememangnya dikenali dan diminati ramai. Model baharu pula tampil unik dengan tiga muncung ekzos yang keluar di tengah bampar belakang.

Seperti biasa, Civic Type R menjadi objek ubah suai dan terbaru, Milltek Sport dari United Kingdom (UK) menawarkan sistem ekzos.

Sistem baharu ini direka untuk mengimbangi kebolehgunaan harian dengan bunyi latar prestasi yang didambakan oleh pemandu Type R.

Kev Hall, Pengurus Operasi Teknikal Milltek, menyatakan, FL5 ialah hot hatch yang memfokuskan pemandu. Bunyinya tidak terlalu bising, tetapi mempunyai nada yang indah yang memberi kepuasan pada setiap pijakan pendikit.

Dengan pelbagai pilihan konfigurasi seperti saiz paip, kemasan dan pilihan injap sistem ini mampu memenuhi keperluan setiap pemilik Type R.

Perlumbaan dan Ekstrak Kuasa

Milltek bukan sekadar pengeluar untuk kereta jalan raya, malah mempunyai warisan yang kukuh dalam dunia perlumbaan, termasuk menaja siri Civic Cup.

Sistem ekzos Honda Civic Type R FL5 baharu ini dibangunkan di kemudahan canggih Milltek di Derby.

Ia direka untuk mengekstrak lebih banyak personaliti daripada enjin VTEC turbo 2.0 liter Honda sambil kekal sah di jalan raya.

Keseluruhan sistem dibina daripada keluli tahan karat gred T304L untuk ketahanan, prestasi dan bunyi Milltek yang tersendiri.

Pilihan Profil Bunyi Mengikut Pemandu

Pemilik boleh memilih antara profil bunyi Race dan Road+, dengan pilihan untuk sistem berinjap dan tanpa injap, termasuk sistem yang diluluskan EC (EC-approved).

Profil bunyi yang ditawarkan mempunyai ciri-ciri yang berbeza:

  • Race – Nada paling lantang, paling ‘mentah’ dan paling agresif yang sesuai untuk kegunaan litar atau bagi pencari keseronokan maksimum.
  • Road+ – Keseimbangan kelantangan  dan kebolehpanduan yang sempurna untuk kegunaan harian.
  • EC approved – Versi terbaru ini menawarkan pilihan yang lebih konservatif tetapi tetap menghasilkan bunyi yang merdu.

Sistem yang diluluskan EC, apabila dipasangkan dengan kawalan injap OE (Peralatan Asal), menawarkan julat 12dB antara tetapan terbuka sepenuhnya dan tertutup.

Apabila injap dibuka, ia memberikan peningkatan sebanyak 8dB berbanding ekzos OE.

Menurut Hall, apabila injap ditutup, kelantangan adalah serupa dengan sistem OE, menjadikannya sesuai untuk perjalanan pergi dan balik kerja.

Namun, apabila dibuka, Type R bertukar menjadi sesuatu yang terasa seperti kereta yang keluar dari lorong pit litar lumba.

Konfigurasi Ekzos dan Kemasan

Pelanggan boleh memilih antara dua konfigurasi ekor ekzos:

  1. Paip tengah yang besar diapit oleh dua paip yang lebih kecil (seperti susun atur OE).
  2. Tiga muncung bersaiz sama untuk penampilan yang lebih menonjol.

Pilihan kemasan muncung ekzos pula termasuk Polished Stainless, Cerakote Black, Brushed Titanium, Burnt Titanium dan Carbon Fibre.

Milltek dan Civic Type R

Sebelum FL5 baharu, Milltek telah menghasilkan sejumlah sistem ekzos untuk Civic Type R seperti berikut:

  • Type R EP3 (2001–2007)
  • Type R FN2 (2007–2012)
  • Type R FK2 (2015–2017)
  • Type R FK8 (2017–2022)

Milltek juga mempunyai produk untuk model ikonik lain seperti S2000 dan DC5 Integra.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here