Ini fungsi terowong SMART yang mampu ‘alihkan’ banjir

6809

Banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur baru-baru ini, memperlihatkan rata-rata orang menyalahkan terowong SMART sebagai punca kejadian bencana alam itu.

Namun, mungkin ramai di antara kita tidak tahu kelebihan terowong SMART yang dibina sepanjang 9.7 kilometer bermula dari Kampung Berembang, Ampang hingga Taman Desa, Salak Selatan itu.



SMART adalah terowong trafik yang pertama di Malaysia. Terowong SMART yang dilengkapi dengan pengurusan banjir diiktiraf oleh CNN sebagai antara 10 terowong terbaik di dunia.

Fungsi SMART

Stormwater Management And Road Tunnel (SMART) yang dibina di kawasan Kuala Lumpur ini mempunyai dua fungsi iaitu untuk laluan trafik kenderaan dan menghalang banjir dari masuk ke bandaraya. Selain itu, SMART menyediakan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya dari arah selatan Kuala Lumpur ke pusat bandaraya.

terowong SMART

Sebagai persediaan risiko banjir, terowong berharga RM1.9 bilion itu dilengkapi dua lapisan pintu kawalan air automatik di kedua-dua penghujung terowong iaitu di Sungai Besi dan Bulatan Kampung Pandan. Secara asasnya terowong itu mempunyai dua laluan sehala bagi kenderaan, manakala ruang paling bawah adalah untuk laluan air.

Beroperasi dengan 4 mod

SMART beroperasi dengan empat mod. Pertama, terowong ini berfungsi seperti biasa sebagai laluan trafik.

Kedua adalah apabila berlaku banjir, air akan mengalir ke bahagian bawah terowong. Laluan di bahagian atas tetap dibuka sebagai laluan trafik.

terowong SMART

Mod ketiga, laluan trafik dikosongkan dan ditutup dalam masa satu jam apabila air memasuki terowong. Sementara itu, air dalam terowong akan mengalir ke bawah.

Mod terakhir adalah sewaktu banjir kilat berlaku dan air dialirkan ke laluan trafik, terowong tersebut akan ditutup. Laluan trafik tersebut akan dibuka semula selepas 48 jam. 

Terowong untuk laluan trafik akan dibuka semula selepas 48 jam bagi tujuan membersihkan kekotoran, lumpur dan sampah-sarap. Terowong ini dibersihkan menggunakan kaedah ‘pressure washing’.

Syaf pengaliran udara

Terowong SMART juga menyediakan syaf pengaliran udara yang berfungsi sebagai memperbaharui udara dan mengekalkan kualiti udara di dalam terowong.

terowong SMART

Syaf dilengkapi dengan kipas yang akan menyedut udara bersih masuk ke terowong dan mengeluarkan udara kotor serta mengawal asap kebakaran sekiranya berlaku kemalangan. Tujuan syaf pengaliran direka adalah untuk menjamin kualiti udara di dalam terowong.

Terowong itu turut dilengkapi frekuensi telefon bimbit dan radio bagi memudahkan orang ramai berhubung. Terdapat sistem litar kamera tertutup (CCTV) untuk memantau kelancaran perjalanan kenderaan.

Kenderaan besar melebihi ketinggian 2 meter dan motosikal tidak dibenarkan menggunakan terowong ini. Pengguna juga dilarang memberhentikan kenderaan kecuali di laluan kecemasan di sebelah kiri jalan.

Apa punca banjir kilat?

Menurut pakar hidrologi iaitu Chong Sun Fatt dan Alias Abdullah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata SMART tidak harus dipersalahkan sebagai punca kepada banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur.

Terowong SMART hanya boleh salurkan aliran air dari Sungai Ampang dan Sungai Klang. Jumlah aliran sungai yang besar dari Sungai Gombak dan Sungai Batu tidak dapat disalurkan ke SMART.

Tambah Chong Sun Fatt, punca kepada banjir yang telah berlaku di Kuala Lumpur bukan semata diletakkan kepada SMART sahaja. Tetapi masalah pembuangan sampah-sarap di dalam longkang juga dipercayai menjadi faktor kepada punca banjir kilat ini.

Aktiviti seperti pembalakan dan pembangunan hartanah juga menambahkan lagi kelemahan sistem perparitan air di Kuala Lumpur.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here