
Sebuah jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilapor melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam tadi.
Jet pejuang jenis F/A-18D itu dipercayai mengalami masalah teknikal membabitkan enjin kiri atau ‘left engine flame out’ sebelum dapat mendarat dengan selamat jam 7.47 malam.
Difahamkan, jet berkenaan kemudian diparkir di Terminal 2 KKIA untuk tindakan lanjut.
Keadaan jet pejuang dilaporkan baik selain kelihatan beberapa jurutera berada di sisi pesawat sejurus selepas pendaratan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
Terdahulu, bunyi dentuman kuat yang kedengaran di beberapa kawasan sekitar Sepanggar dan Kota Kinabalu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai sehingga ada yang berkongsi pengalaman mereka di media sosial.
Difahamkan hingga kini, jet pejuang berkenaan masih berada di kawasan Terminal 2 KKIA sambil dipantau pihak berkaitan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak TUDM berhubung kejadian berkenaan.
































