
Keupayaan pengawasan dan pertahanan maritim negara diperkukuh apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima tiga aset Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE) ANKA-S yang akan dioperasikan oleh No 11 Skuadron di Pangkalan Udara (PU) Labuan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perolehan dan pengoperasian aset berkenaan merupakan satu langkah signifikan dalam meningkatkan usaha menjaga keselamatan, pertahanan serta kedaulatan negara.
Menurut beliau, kerajaan memperoleh tiga unit ANKA-S bernilai RM423.8 juta yang urut merangkumi stesen kawalan darat serta latihan kepada anggota selama dua tahun.
“Perolehan ANKA-S dan pemulaan operasinya akan dapat meningkatkan lagi usaha-usaha kita dalam menjaga pertahanan, keselamatan dan juga kedaulatan negara. Ia juga meningkatkan lagi kesiagaan kita dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita.
“Dengan adanya ANKA-S ini, kita dapat ataupun TUDM dapat mengekalkan ‘mata dan telinga’ negara kerana mampu untuk melakukan operasi secara berterusan pada kedudukan yang sukar dikesan dalam sebarang keadaan cuaca sekalipun,” jelasnya.
Beliau berkata, pesawat tanpa pemandu itu mampu menjalankan pemantauan berterusan di kawasan perairan negara selain memperkukuh keupayaan pengawasan maritim.
ANKA-S mampu untuk melakukan penerbangan melebihi 24 jam pada ketinggian operasi sehingga 30,000 kaki. Pengoperasian di PU Labuan bertujuan melakukan pengawasan dalam kawasan Laut China Selatan, terutamanya untuk memastikan kedudukan negara selamat khususnya kawasan bertindih.
Ia juga memainkan peranan mengesan segala aktiviti yang boleh menjejaskan kedudukan negara seperti penyeludupan, tangkapan ikan tanpa kelulusan dan sebagainya.
Mohamed Khaled berkata sistem berkenaan juga mempunyai keupayaan mengecam dan menjejak profil kapal secara tepat, sekali gus membantu pasukan keselamatan mengatur gerak aset dengan lebih efisien ke lokasi yang dikenalpasti.
“Penggunaan ANKA-S juga turut menawarkan kos operasi yang lebih rendah berbanding penggunaan pesawat pejuang atau kapal peronda maritim yang besar bagi tujuan pemantauan berterusan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut juga memaklumkan kerajaan sememangnya mempunyai perancangan untuk memperoleh tiga lagi ANKA-S menerusi fasa kedua yang dijangka dapat memperluaskan liputan pemantauan ke seluruh negara.




































