
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi membuktikan keupayaan logistik strategiknya menerusi kejayaan misi penghantaran sebuah helikopter EC725 AP menggunakan pesawat pengangkut A400M, baru-baru ini.
Misi tersebut melibatkan penghantaran pesawat EC725 AP milik No. 5 Skuadron dari Pangkalan Udara Labuan ke Subang bagi menjalani proses penyelenggaraan major di Boustead Heavy Industries Corporation Aviation Services Sdn Bhd (BHICAS).
TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, kejayaan itu mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan kompetensi tinggi warga TUDM dalam mengendalikan operasi teknikal yang kompleks dan memerlukan ketelitian khusus.

Operasi berkenaan melibatkan empat pegawai dan 24 anggota daripada No. 5 Skuadron, No. 8 Skuadron serta No. 10 Skuadron.
Menurut kenyataan itu lagi, persediaan rapi selama dua hari telah dilaksanakan dengan pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dan manual teknikal, selain mendapat khidmat nasihat daripada pihak AIRBUS dan BHICAS.
Penerbangan membawa pesawat EC725 AP itu merupakan kejayaan ketiga yang dilaksanakan oleh pesawat A400M selepas misi sama pada 2017 dan 2020.

































