Suzuki Address 125 2026 UK, tampil perubahan ketara, rekaan kekal klasik

9

Suzuki GB memperkenalkan skuter Address 125 versi 2026, menampilkan sejumlah pembaharuan yang meningkatkan prestasi, kecekapan dan praktikaliti.

Address 125 mula ditawarkan di UK pada 2022. Walaupun dengan perubahan rekaan, model ini masih mengekalkan gaya klasik dan dipadan bersama teknologi dan kejuruteraan terkini. 

Untuk makluman, skuter Address FI dengan reka bentuk berbeza pernah dipasarkan di dalam negara dan model Address 110 turut ditawarkan di UK.

Enjin dan Prestasi

Nadi Address kekal dengan enjin Suzuki Eco Performance (SEP) yang terkenal dengan prestasi dan kebolehpercayaannya.

Versi terbaru ini memenuhi piawaian emisi Euro 5+, mencapai 148.6mpg (52.66km/l) dan hanya mengeluarkan 45 g/km CO₂.

Enjin 125cc telah diubah suai bagi menghasilkan tork puncak lebih awal, hasil daripada perubahan pada profil aci sesondol (camshaft) dan kotak udara (airbox).

Tork puncak kini meningkat kepada 10.2Nm pada 5,000rpm, berbanding 10Nm pada 5,500rpm pada model terdahulu.

Kuasa puncak pula ialah 8.4 ps yang dicapai pada 6,500rpm, 250 rpm lebih awal dari sebelumnya. Perubahan ini menghasilkan pecutan yang lebih responsif.

Untuk meningkatkan lagi kecekapan, profil aci sesondol pengambilan (intake cam) diubah suai untuk mengangkat lebih tinggi bagi meningkatkan isipadu udara.

Pemasaan aci sesondol ekzos (exhaust cam timing) pula diselaraskan untuk mengurangkan pertindihan.

Kapasiti kotak udara turut diperbesarkan sebanyak 10%. Selain itu, satu daripada dua pemangkin ekzos (catalytic converter) telah dibuang.

Langkah-langkah lain untuk penjimatan bahan api termasuk penggunaan plat keluli elektromagnetik pada teras stator, perubahan sudut pemasangan injektor, pengubahsuaian tetapan CVT dan penurunan rpm melahu (idling).

Enjin juga dihidupkan dengan lebih senyap susulan penggunaan klac sehala jenis roller menggantikan klac overrunning.

Kerangka dan Praktikaliti 

Kerangka underbone baharu Address 125 kini lebih ringan 1kg dan meningkatkan ketegaran kilasan (torsional rigidity) sebanyak 25%.

Kerangka yang dipertingkatkan ini menyumbang kepada penjimatan bahan api, kestabilan dan pengendalian yang lebih baik.

Pengubahsuaian pada kerangka ini, termasuk pemindahan titik pangsi penggantungan belakang (rear suspension pivot point) ke atas dan ke belakang, membolehkan beberapa penambahbaikan lain.

Ini termasuk ruang simpanan bawah tempat duduk yang lebih besar, kotak udara yang lebih besar dan tangki bahan api yang lebih besar.

Meskipun kapasiti meningkat dari 5 liter kepada 5.3 liter, tangki baharu ini 25% lebih ringan. Ruang simpanan bawah tempat duduk kini 24.4 liter, meningkat dari 21.8 liter.

Terdapat juga poket simpanan dalaman kedua di bahagian hadapan, lengkap dengan port pengecas USB.

Selain itu, dua cangkuk utiliti untuk menggantung beg dan dua cangkuk topi keledar turut disediakan di bawah tempat duduk.

Keselamatan dan Rekaan

Skuter ini dilengkapi brek cakera 190mm di hadapan dan brek dram 120mm di belakang.

Sistem brek gabungan (combined braking system) bertindak mengagihkan daya brek ke roda hadapan dan belakang secara serentak apabila tuil brek kiri ditekan.

Dari segi rekaan, Address 125 2026 masih mengekalkan gaya klasik. Lampu hadapan segi empat telah dibentuk semula dengan kemasan krom yang menawan.

Terdapat juga lampu posisi berbentuk U yang menggunakan LED, diapit oleh dua lampu posisi LED tambahan dengan lampu isyarat bersepadu.

Lampu belakang juga berbentuk U dan menggunakan LED.

Ciri keselamatan standard merangkumi penutup lubang kunci penyalaan yang dibuka melalui mekanisme magnetik yang diselaraskan dengan kunci pemilik.

Penutup tangki bahan api di bahagian belakang kini disembunyikan dengan penutup berwarna badan motor.

Model ini juga mengutamakan keselesaan dengan tempat duduk baharu, pemijak kaki pembonceng yang lebih ringan dan 15mm lebih panjang, serta papan lantai yang luas.

Terdapat juga pelindung kaki keluli yang lebih besar dan pelindung lumpur (mudguard) hadapan keluli.

Suzuki Address 125 2026 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Metallic Matt Stellar Blue, Pearl Grace White dan Metallic Matt Black No.2.

Di UK, skuter ini ditawarkan pada harga £2,599 (RM14,870). Suzuki GB turut menawarkan beberapa aksesori seperti penghadang angin, rak dan kotak belakang.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here