
Seorang pencuci kereta dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuching hari ini selepas mengaku bersalah membakar bungkusan tisu dalam dua kejadian berasingan di dua pasar raya di Kuching, bulan lalu.
Hakim Musli Abdul Hamid menjatuhi Rizam Zawawi, 33, hukuman penjara lima tahun dan tujuh tahun, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 25 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan membakar tisu sehingga menyebabkan kerugian RM3,000 di sebuah pasar raya di Jalan Liu Shan Bang, Kota Sentosa pada jam 3 petang, 17 Ogos lalu.
Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah pasar raya di Batu Kawa pada jam 8 malam (21 Ogos) menyebabkan kerugian RM1,072.60.
Pendakwaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan yang boleh dipenjara hingga 14 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian dan Umi Syukriah Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menurut fakta kes, modus operandi tertuduh adalah dengan membakar tisu dan lampin pakai buang di premis berkenaan bagi mengalih perhatian pekerja dalam cubaan untuk mencuri barangan lain.
Di sebuah premis, dia berjaya melarikan sekotak minuman berkarbonat dan perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada penahanannya.