
Seorang lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Maran atas tuduhan memandu kereta secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Rusila, minggu lalu.
Shah Dullah Abul Hashim, 20, yang tidak bekerja didakwa memandu Proton Saga secara berbahaya hingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal Yamaha RX-Z dan kematian terhadap penunggangnya Saifullah Isyraf Shamsudin, 27.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di KM12.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Rusila pada 6 petang, 27 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan Maisarah Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Ramlan Taib.
Majistret Nur Athirah Hashim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, serta menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes.
































