
BMW Motorrad mengemas kini penawaran bagi model skuter elektrik CE 04 model tahun 2026 dengan membawakan pilihan warna baharu serta aksesori yang lebih meluas.
Varian asas CE 04 kini dikemaskan dengan warna Lightwhite yang dipadankan dengan tempat duduk hitam kelabu, sementara varian Avantgarde pula mendapat cat Gravity Blue Metallic Matt berserta aksen Sao Paulo Yellow.
Varian Exclusive pula mendapat kelengkapan tambahan seperti pemanas bar hendal, pelindung tangan, pemanas tempat duduk, fabrik upholsteri baharu, cermin penghadang angin yang lebih besar serta warna Spacesilver Metallic.
Kelengkapan standard untuk varian Exclusive itu tadi turut ditawarkan sebagai opsyen untuk semua varian CE 04.
Antara aksesori lain yang boleh ditambah termasuklah topang tengah, sistem penggera, bantuan panggilan kecemasan, slot pengecasan pantas, sistem pemantauan tekanan tayar dan pelana yang lebih selesa.
Pakej Dynamic pula menambah ciri ekstra seperti unit lampu Headlight Pro, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu adaptif, ABS Pro, kawalan cengkaman dinamik dan tambahan mod tunggangan.
BMW CE 04 dikuasakan oleh motor elektrik 42 hp yang mampu memecut sepantas 2.6 saat dari 0-50 km/j, sebelum mencapai kelajuan maksimum 120 km/j.
Pek bateri 8.9 kWh pula menawarkan jarak gerak sehingga 130 km untuk sekali cas penuh.
BMW CE 04 turut menyokong pengecasan pantas DC di mana bateri boleh dicas 20 hingga 80 peratus dalam masa 45 minit sahaja.