
Nampaknya, percaturan Mercedes-Benz memperkenalkan sedan generasi baharu CLA-Class di tengah-tengah stigma “sedan sudah mati” membuahkan hasil di luar jangkaan.
Disebabkan permintaan yang terlalu memberangsangkan, Mercedes terpaksa menambah syif baharu supaya barisan produksi dapat memenuhi permintaan sedia ada.
Turut menyumbang kepada peningkatan minat yang mendadak ialah varian elektrik sepenuh masa (EV) yang pertama kali ditawarkan untuk model ini bersama-sama varian enjin pembakaran dalaman sedia ada.
Buat masa ini, sekitar 200 unit CLA-Class versi elektrik meluncur keluar daripada barisan produksi di kilang Stuttgart-Unterturkheim setiap hari, dengan kapasiti tahunan sekitar 50,000 unit.
Melihatkan perkembangan terbaharu ini, pelanggan Mercedes-Benz boleh menjangkakan tempoh masa menunggu yang lebih lama.
Menurut laporan Automobilwoche, kebanyakan model CLA mungkin akan diedarkan bermula tahun hadapan biarpun buku tempahan sudah dibuka sejak April tahun ini.
Ini bermakna, kelompok unit pertama CLA-Class hanya akan diterima oleh golongan pelanggan setia Mercedes-Benz sahaja untuk permulaan memandangkan versi ICE hanya akan mula diproduksikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Buat masa ini, CLA-Class boleh didapati dalam versi elektrik CLA 250+ berkuasa 268 hp/335 Nm, serta CLA 350 4MATIC berkuasa 349 hp/515 Nm.
Versi enjin pembakaran dalaman pula dikuasakan oleh nadi 1.5 liter hibrid ringan 48V, di mana angka prestasi masih lagi belum didedahkan.