
Biarpun Mercedes-Benz menaruh harapan yang agak tinggi, namun angka jualan mendedahkan realiti sebenar penerimaan pelanggan terhadap model G-Class elektrik.
Dalam satu laporan terbaharu oleh akhbar Jerman Handelsblatt, eksekutif Mercedes secara jujur mengakui model G-Class elektrik tersebut merupakan satu kegagalan komersial.
Seorang eksekutif yang enggan dikenali mendedahkan “SUV elektrik tersebut hanya duduk diam di pusat pengedar, ia gagal sepenuhnya.”
Seorang lagi pengurus dipetik berkata, “Ia adalah model niche, angka jualannya juga sangat rendah.”
Menurut Handelsblatt, Mercedes-Benz sekadar menjual 1,450 unit G-Class elektrik, hampir setahun selepas pelancaran model tersebut.
Sebagai perbandingan, sebanyak 9,700 unit G-Class berenjin diesel dan petrol telah terjual dalam tempoh masa yang sama, menjadikannya tujuh kali lebih popular berbanding varian EV.
Sorang lagi eksekutif jenama itu berjenaka, “Orang lebih mahukan sebuah G-Class yang sebenar – dengan enjin enam atau lapan silinder.”
Antara faktor yang menyumbang kepada kegagalan tersebut ialah harga jualan yang lebih mahal berbanding G-Class versi enjin pembakaran dalaman.
Selain itu, G-Class elektrik juga mempunyai keupayaan yang lebih lemah, hanya mampu menampung beban seberat 415 kg dan tiada opsyen pemasangan bar tunda dibenarkan.
Ini menjadikan G-Class elektrik tidak begitu praktikal berbanding G-Class ICE.
Ia juga lebih berat (3,085 kg) yang menyumbang kepada jarak gerak hanyalah sekitar 385 km mengikut data EPA (atau 473 km mengikut data WLTP).
Akhbar Jerman itu turut melaporkan permintaan yang rendah memaksa Mercedes untuk menimbang semula projek little G atau g-Class.
Besar kemungkinan model SUV yang lebih kecil berbanding G-wagen standard itu akan ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman berbanding perancangan asal untuk tampil dalam versi EV semata-mata.
Mercedes-Benz g-Class itu dijangka akan dilancarkan pada tahun 2027.