
Masih ramai penunggang motosikal yang mengambil ringan terhadap aspek keselamatan tayar, di mana sikap ini boleh mengundang risiko kemalangan jalan raya.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Law Teik Hua kepada laman berita Bernama.
Menurut Law, ada di antara penunggang motosikal yang masih tidak tahu cara menilai keadaan tayar seperti membaca indikator kehausan atau memeriksa tarikh luput.
“Ramai hanya menukar tayar selepas ia benar-benar haus atau apabila berlaku kebocoran. Antara mitos yang berlegar ialah ‘tayar masih tebal, jadi tak perlu tukar’ tanpa melihat usia atau keadaan sebenar getah.
“Ada juga yang percaya tayar terpakai atau tayar botak lebih laju sedangkan itu fahaman yang sangat berbahaya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata jangka hayat tayar motosikal biasanya antara tiga hingga lima tahun dari tarikh pengeluaran, namun bagi kegunaan harian yang lebih lasak seperti penghantar makanan, tayar mungkin perlu diganti dalam tempoh satu setengah hingga dua tahun.
“Tayar yang selamat untuk kegunaan harian harus mempunyai struktur yang mencengkam dengan baik terutama ketika hujan, sesuai dengan jenis permukaan, mempunyai struktur tahan lama serta indeks kelajuan dan beban yang sesuai dengan motosikal yang digunakan,” katanya.
Law berkata kedalaman bunga yang kurang daripada 1.6 milimeter menandakan tayar perlu diganti, selain bunga yang sama paras dengan tanda TWI menunjukkan tayar telah haus.
“Retakan kecil, benjolan atau tayar yang menjadi keras adalah petunjuk bahawa tayar sudah lama atau rosak. Tekanan angin pula perlu disemak setiap minggu mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh pengeluar,” katanya.
Beliau mencadangkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan kempen pendidikan keselamatan tayar secara lebih proaktif, termasuk pemeriksaan berkala dan mewajibkan penggunaan tayar yang mematuhi piawaian.