Lebih 2 juta kenderaan dijangka masuk Kelantan sempena Aidiladha

59

Lebih dua juta kenderaan dijangka memasuki negeri Kelantan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada Sabtu ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jangkaan itu berdasarkan trend semasa dan budaya masyarakat negeri ini yang gemar pulang ke kampung sempena cuti perayaan, khususnya Aidiladha.

“Pengalaman kami setiap tahun, waktu raya haji pun sama seperti raya puasa.

“Orang Kelantan memang suka balik kampung dan kali ini dijangka lebih dua juta kenderaan akan memasuki negeri ini,” katanya.

Menurut Mohd Yusoff, lokasi tumpuan kemalangan seperti jalan utama masuk ke bandar Kota Bharu, jajahan Pasir Mas dan Gua Musang akan sentiasa dipantau rapi oleh pihak polis terutamanya ketika waktu puncak cuti perayaan.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya, khususnya anak Kelantan yang pulang dari perantauan agar mengekalkan disiplin pemanduan seperti ketika berada di luar negeri.

“Ramai yang balik dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor, belajar atau bekerja di luar Kelantan. Masa di sana, disiplin memandu mereka baik.

“Tapi apabila masuk sempadan Kelantan, ada yang berubah. Tak pasti sama ada disebabkan faktor dalaman atau tekanan persekitaran. Jadi tolong kekalkan disiplin ketika berada di jalan raya. Jangan potong barisan atau pentingkan diri,” tegasnya.

Tambah beliau, pemanduan secara berhemah bukan sahaja menyelamatkan nyawa sendiri, malah mengurangkan tekanan kepada pemandu lain serta membantu kelancaran trafik.

“Pihak polis juga akan melaksanakan penugasan khas Op Lancar dan Op Selamat sempena musim Aidiladha bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mencegah jenayah,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here